GEORGE TOWN : Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menggagalkan satu cubaan membawa masuk tupai salai tanpa permit import di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di Bayan Lepas, di sini, hari ini.
Jurucakap jabatan itu berkata, rampasan tersebut dilakukan hasil kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melalui bantuan mesin pengimbas dan pemeriksaan yang dilakukan oleh pegawai Maqis di LTAPP.
“Hasil pemeriksaan menemukan tupai salai di dalam sebuah bagasi seorang penumpang dari negara Indonesia dengan anggaran berat lapan kilogram (kg).
“Perbuatan mengimport keluaran hasilan pertanian tanpa permit yang sah itu adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3), akta yang sama.
“Sabit kesalahan, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, pihak Maqis Pulau Pinang khususnya sentiasa mengambil langkah serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit serta risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam sektor pertanian negara.
“Dalam hal ini, Maqis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang bagi memastikan keselamatan industri pertanian dan makanan negara terjamin,” katanya.-UTUSAN










