Malaysia destinasi dana haram - Utusan Malaysia

Malaysia destinasi dana haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Malaysia menjadi antara destinasi pemindahan wang haram yang dila­kukan bank sejak dua dekad lalu hingga 2017.

Menurut laporan BuzzFeed dan beberapa media lain yang memetik dokumen yang diserahkan bank kepada Rangkaian Penguatkuasaan Jenayah Kewangan Amerika Syarikat (FinCEN) ia turut me­libatkan transaksi Low Taek Jho atau Jho Low yang terkait dalam kes 1MDB.

Perkara itu dilakukan wa­laupun wujud amaran me­ngenai sumber wang ber­kenaan telah diberi oleh FinCEN.

Antara bank yang banyak disebut dalam laporan aktivi­ti mencurigakan itu adalah HSBC, JPMorgan, Deutsche Bank, Standard Chartered dan Bank of New York Mellon.

Menurut 2,100 fail yang dikongsi Konsortium Wartawan Penyiasat Antarabangsa (ICIJ), JPMorgan, bank terbesar berpusat di Amerika Syarikat (AS), didakwa memindahkan wang kepada in­dividu dan syarikat yang berkaitan dengan penjarahan dana awam di Malaysia, Venezuela dan Ukraine.

Bank itu mengeluarkan le­bih AS$1 bilion (RM4.12 bilion) di sebalik skandal 1MDB dan lebih AS$2 juta (RM8.2 juta) untuk syarikat yang dituduh menipu kerajaan Venezuela.

JPMorgan juga mempro­ses pembayaran lebih AS$50 juta (RM205 juta) selama satu dekad untuk Paul Manafort, bekas pengurus kempen Pre­siden Donald Trump.

ICIJ melaporkan kesemua 2,100 dokumen tersebut me_ngandungi maklumat transaksi bernilai lebih AS$2 trilion (RM8.2 trilion) antara 1999 dan 2017 yang diklasifikasikan sebagai meragukan.

Namun, fail yang dibocorkan tidak membuktikan sebarang salah laku dan menurut ICIJ, pendedahan itu hanyalah sebahagian kecil daripada ke­seluruhan laporan yang difailkan kepada FinCEN.

Selain itu, ia menjadi kunci utama kepada usaha global menangani pengubahan wang haram serta jenayah berkaitan.

Laporan media tersebut secara tidak langsung menggambarkan berlaku ketirisan dalam sistem sehingga membolehkan sejumlah dana haram disalurkan dalam sistem perbankan utama.

Menurut Pejabat Jabatan Perbendaharaan Kawalan Wang, bank mempunyai tempoh maksimum iaitu 60 hari untuk memfailkan kes selepas tarikh transaksi yang mencurigakan dilaporkan.

ICIJ menyatakan dalam sesetengah kes, bank gagal melaporkan transaksi yang mencurigakan sehingga beberapa tahun selepas prosedur itu diproses.

Dokumen juga menunjukkan bank sering memindahkan dana untuk syarikat yang didaftarkan di kawasan luar pesisir seperti Kepulauan Bri­tish Virgin dan identiti pemilik akaun tidak diketahui.

Petugas di kebanyakan bank utama sering menggunakan Google untuk mencari siapa yang terlibat di sebalik proses transaksi besar yang dilakukan.

Transaksi lain yang dilaporkan termasuk pemindahan duit dari skim Ponzi yang di­salurkan menerusi HSBC dan Deutsche Bank memperoses wang yang dikaitkan dengan jutawan dari Ukraine.

Ketua Eksekutif Kumpulan Perdagangan Institut Kewa­ngan Antarabangsa, Tim Adams dalam kenyataan melahirkan harapan agar pendedahan yang dibuat dapat mendesak pihak berwajib mengambil langkah serta pembaharuan yang sewajarnya.

“Jenayah kewangan bukan sahaja menjejaskan institusi kewangan, malah memberi kesan kepada semua ma­­syarakat,” katanya.

Sementara itu, HSBC memaklumkan semua maklumat yang didedahkan oleh ICIJ itu ‘sudah lama’ kerana sejak 2012, bank tersebut giat meningkatkan kemampuannya meme­rangi jenayah kewangan di lebih 60 bidang kuasa.

Standard Chartered pula me­negaskan bank tersebut akan mengambil tanggungjawab untuk memerangi jenayah kewangan secara serius, selain melabur besar-besaran dalam program pematuhan yang dilaksanakan.

Bank of New York Mellon enggan mengulas lanjut berhubung pendedahan tersebut dan memaklumkan pihaknya sentiasa mematuhi semua undang-undang serta peraturan yang ditetapkan.

Selain itu, JPMorgan komi­ted memberikan contoh terbaik dalam anti pengubahan wang haram, manakala Deutsche Bank memberi jaminan me­ngukuhkan kawalan sistem perbankannya bagi mengelak berlaku jenayah kewangan.

FinCEN dalam satu kenya­taan di laman webnya baru-baru ini menjelaskan jabatan itu menyedari pelbagai organisasi media cuba mendedahkan beberapa laporan berhubung dokumen yang dibocorkan.

Namun, mendedahkan dokumen yang tidak sah adalah satu perbuatan jenayah yang boleh menjejaskan keselamatan AS. -AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya