Lima tuntutan tertangguh, Cuepacs ingin jumpa PM - Utusan Malaysia

Lima tuntutan tertangguh, Cuepacs ingin jumpa PM

ADNAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudi mengadakan pertemuan bagi membincangkan lima tuntutan yang tertangguh walaupun sudah diumumkan kerajaan.

Lima tuntutan itu adalah kenaikan gaji berkuat kuasa 1 Julai 2018 dan pemendekan kenaikan pangkat ‘time based’ kali kedua yang dikurangkan daripada 13 tahun kepada 10 tahun berkuat kuasa 1 Januari 2018.

Turut dituntut ialah pengumuman gaji tambahan kepada guru gred DG56, penebusan Ganti Cuti Rehat (GCR) selama 75 hari dan penambahan Elaun Sara Hidup (Cola) sebanyak RM50.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, tuntutan tersebut tertangguh akibat pembentukan kerajaan baharu dan pihaknya menghantar surat memohon mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri pada Mac lepas namun tiada sebarang maklum balas.

“Kita berharap Perdana Menteri sudi mengadakan pertemuan ini dan kerajaan melaksanakan segera tuntutan tersebut kerana kita sudah berbincang daripada segi proses, justifikasi, peruntukan serta aturan pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan Kepada Barisan Hadapan Menangani Pandemik Covid-19 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini hari ini.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada ketua jabatan-jabatan di negeri ini.

Majlis itu bertujuan bertemu dengan semua petugas pasukan hadapan dan menghargai khidmat mereka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, perkara itu wajar diberi perhatian segera oleh kerajaan demi menjaga kebajikan kakitangan awam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya