Komtar ‘ditadbir’ gelandangan - Utusan Malaysia

Komtar ‘ditadbir’ gelandangan

Sebahagian gelandangan yang berusia 20 hingga 70-an boleh ditemui di sekitar kawasan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown, Pulau Pinang.- UTUSAN/AMIR IRSYAD OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Siang merupakan kompleks pentadbiran ke­rajaan negeri manakala malam pu­la ‘ditadbir’ oleh golongan ge­lan­dangan.

Demikian suasana malam di se­kitar pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini terutama di stesen bas dan di sepanjang kaki lima berhampiran Jalan Ria apabila lebih 30 gelandangan dilihat berkeliaran dan tidur bergelimpangan.

Difahamkan, lokasi berke­naan menjadi pilihan gelanda­ngan sejak lebih lapan tahun lalu dan majoriti mereka yang berusia 20 hingga 70-an berasal dari luar pusat bandar Georgetown iaitu di Seberang Perai.

Malah, ada yang berasal dari Kedah, Perak, Kelantan, Johor dan Negeri Sembilan yang berakhir sebagai gelandangan di negeri ini.

Tinjauan Utusan Malaysia men­dapati, gelandangan lelaki dan wanita pelbagai bangsa itu menjadikan kawasan Komtar se­bagai ‘rumah rehat’ pada waktu malam selepas penat bekerja siang hari.

Malah, ada juga dalam kalangan mereka yang langsung tidak ada kerja namun memilih untuk tinggal di situ dengan alasan lokasi berkenaan dianggap sebagai lubuk duit dan makanan yang diagihkan individu mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Golongan gelandangan seakan-akan mengetahui kehadiran NGO mahupun aktivis sebaik enjin kenderaan mewah diberhentikan berdekatan lokasi tidur mereka.

Bukan setakat itu, gelandangan terbabit tidak peduli orang awam yang lalu lalang di kawasan berkenaan sebaliknya mereka tanpa segan silu menghamparkan kotak untuk dijadikan alas tidur selain menjemur pakaian di tiang tepi laluan utama.

Lebih memeranjatkan, tinjauan juga mendapati terdapat seorang gelandangan wanita orang kelainan upaya (OKU) berusia 50-an ditemui mengerang kesakitan di atas kotak dengan badannya menggeletar.

Dia dibawa ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan.

Seorang aktivis, Zahira Abdu Karim, 38, berkata, Komtar yang siap dibina pada tahun 1986 menjadi tempat tumpuan ramai gelandangan pada waktu malam, terutama di tingkat bawah bangunan selain kawasan di sekitar Jalan Masjid Kapitan Keling.

Zahira berkata, golongan muda turut menjadikan kaki lima dan stesen bas itu sebagai tempat rehat tidak kira siang atau malam.

“Sebahagian mereka datang dari Kedah dan Perak manakala selebihnya berasal dari negeri ini. Selain warga emas, gelandangan muda yang dipercayai tiada pekerjaan juga dilihat tidur di situ.

“Keadaan mereka (orang muda) memang nampak daif tetapi mereka masih mempunyai kudrat untuk bekerja berbanding gelandangan warga emas. Mereka juga mendakwa mampu peroleh RM30 sehari hasil sumbangan NGO mahupun individu jika berada di situ,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Seorang lagi aktivis, Fatimah Abdullah, 55, berkata, persekitaran yang penuh dengan gelandangan sememangnya mencemarkan imej Komtar yang menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri dan pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

“Kerajaan negeri perlu lakukan sesuatu dengan segera bagi membersihkan persekitaran kawasan berkenaan daripada dihuni secara tetap oleh golongan gelandangan,” tegas beliau. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN