KUALA KANGSAR: Kementerian Pendidikan meneliti keperluan menambah pembantu warden serta guru bimbingan dan kaunseling di sekolah berasrama penuh.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, tindakan itu supaya pelajar-pelajar mendapat perhatian dan bimbingan yang lebih baik sepanjang berada di asrama.
“Saya mahu ibu bapa tahu bahawa kita berkongsi harapan yang sama. Mahu anak-anak berjaya tetapi lebih daripada itu, mereka membesar dengan selamat dan bahagia.
“Jangan terlalu risau jika anak tidak masuk ke sekolah yang menjadi impian. Setiap anak mempunyai jalan dan waktunya sendiri untuk berjaya,” katanya di sebuah sekolah berasrama di sini hari ini.
Fadhlina melakukan lawatan ke sekolah tersebut susulan kematian seorang pelajar lelaki tingkatan tiga pada Rabu lalu.
Beliau turut mengadakan perbincangan bersama polis berhubung keselamatan dan kesejahteraan anak-anak di sekolah itu.
“Kami membincangkan pelbagai perkara termasuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP), pengurusan asrama serta kepentingan ibu bapa menilai kesediaan anak-anak sebelum membuat keputusan menghantar mereka ke sekolah berasrama.
“Saya tahu bukan mudah untuk ibu bapa melepaskan anak-anak yang masih kecil untuk hidup berjauhan. Kita percaya mereka akan belajar berdikari dan membina keyakinan diri,” katanya.
Menurutnya, ada pelajar yang mudah menyesuaikan diri yang mengambil masa lebih lama.
“Ada yang mampu menghadapi persaingan akademik dengan baik, ada yang memerlukan lebih banyak dorongan.
“Saya percaya perlu sentiasa menyediakan ruang untuk anak-anak bercerita. Kadangkala mereka tidak meminta banyak cukuplah ada kenalan yang sedia mendengar tanpa menghakimi,” katanya.-UTUSAN











