Semua pihak nikmati manfaat pembangunan negeri 

Semua pihak nikmati manfaat pembangunan negeri 

WAN ROSDY Wan Ismail melakukan gimik menangkap baung ekor meraj sempena perasmian  Pahang 1st Tawan Baung Ekor Merah Fest di Kuala Krau hari ini.-UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAU: Kerajaan Pahang sentiasa berusaha memastikan kebajikan semua penjawat awam yang berkhidmat di negeri ini terbela, namun kekangan kewangan menyebabkan bantuan secara langsung tidak dapat disalurkan kepada semua meskipun mereka wajar menikmati manfaat pembangunan dan kemakmuran negeri. 

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ketiadaan pengumuman Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada penjawat awam Persekutuan dalam Belanjawan Pahang 2027 bukan bermakna kerajaan negeri meminggirkan atau melupakan jasa serta sumbangan mereka.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan negeri menyediakan pelbagai bentuk inisiatif dan manfaat lain menerusi Aspirasi Pahang1st yang turut memberi faedah kepada masyarakat termasuk penjawat awam Persekutuan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita ada bagi dalam bentuk lain. Contohnya kepada cikgu-cikgu, kita beri kain batik dan menerusi Aspirasi Pahang1st, banyak juga yang kerajaan negeri sediakan. Sebenarnya kita tidak mampu hendak beri semua kepada penjawat awam Persekutuan kerana jumlah mereka terlalu ramai.

“Jadi, kita beri apa yang kita rasa mampu berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan negeri dan kita beri pun seadanya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pahang 1st: Tawan Baung Ekor Merah Fest di Dataran Pekan Sehari Kuala Krau di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata demikian ketika diminta mengulas reaksi segelintir penjawat awam Persekutuan yang mempersoalkan ketiadaan bantuan khas kepada mereka susulan pembentangan Belanjawan Pahang 2027, semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu mengambil kira kemampuan kewangan dan keutamaan perbelanjaan sebelum membuat sebarang keputusan membabitkan pemberian bantuan kepada penjawat awam.

Beliau berkata, BKK yang diumumkan kepada penjawat awam negeri merupakan penghargaan kerajaan Pahang terhadap perkhidmatan mereka berdasarkan peruntukan Belanjawan Negeri.

“Keutamaan kita kepada mereka yang berkhidmat dengan kerajaan negeri Pahang kerana ini menggunakan peruntukan Belanjawan Negeri.

“Namun, itu tidak bermakna penjawat awam Persekutuan dilupakan kerana kerajaan negeri tetap menyediakan pelbagai inisiatif lain mengikut kemampuan,” katanya.

Semalam, Wan Rosdy ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2027 mengumumkan pemberian BKK sebanyak dua bulan gaji serta bantuan khas Aidilfitri RM1,500 kepada kira-kira 8,000 penjawat awam negeri.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, kemudahan awam dan pelbagai program kesejahteraan rakyat yang manfaatnya dinikmati masyarakat secara menyeluruh tanpa mengira sektor pekerjaan.

Wan Rosdy turut menegaskan bahawa setiap bentuk bantuan dan insentif yang disediakan kerajaan negeri perlu disesuaikan dengan kedudukan kewangan semasa bagi memastikan pembangunan Pahang dapat diteruskan secara mampan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini