Kementerian Kesihatan sedia jalankan saringan besar-besaran - Utusan Malaysia

Kementerian Kesihatan sedia jalankan saringan besar-besaran

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan bersedia menjalankan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran di Sabah membabitkan daerah Tawau, Lahad Datu dan Kunak dalam masa terdekat. 

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dianggarkan seramai 20,000 individu akan terlibat dalam saringan tersebut.

“Selepas pihak berkuasa (tentera dan polis) memperketatkan kawalan sempadan, Kementerian Kesihatan akan menjalankan saringan dalam komuniti dan kita menyasarkan di Tawau, Lahad Datu serta Kunak.

“Dalam masa sama, kita juga akan mengenal pasti kawasan tertentu contohnya, kampung dan lokaliti.

“Sekiranya di lokaliti tersebut mempunyai kes positif Covid-19 yang tinggi, kita akan mengambil tindakan seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (Temco),” katanya dalam sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di sini, hari ini. 

Menerusi laporan media sebelum ini, terdapat tiga kluster dilaporkan di Sabah iaitu Kluster Benteng LD di Tawau dan Lahad Datu, Kluster Laut dan yang terbaharu Kluster Pulau di Kunak.  

Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, daerah Tawau, Lahad Datu dan Kunak disahkan kes sporadik dan Kementerian Kesihatan masih mempergiatkan pengesanan kepada mereka yang terdedah kepada kes positif. 

“Sekiranya kita dapat menjalankan tindakan dengan cepat di lapangan, Insya-Allah Covid-19 ini boleh dikawal. Bagaimanapun, bergantung kepada rakyat Sabah terutama di daerah tersebut untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan duduk di rumah jika tiada urusan,” katanya. 

Berhubung dua pusat kuarantin berisiko rendah di Sabah, beliau berkata, ia akan beroperasi dalam masa terdekat untuk mereka yang tidak bergejala dan bergejala ringan. 

Mengenai perkembangan nilai R Naught (RO) penularan Covid-19 bagi negara, Dr. Noor Hisham berkata, ia kekal melebihi 1.0. 

“Nilai terkini pada 13 September adalah 1.58 dan jika diteliti nilai Rt bagi Sabah pada 8 September, ia amat tinggi iaitu pada nilai 3.72. 

“Ini adalah lebih tinggi berbanding nilai Rt bagi negeri Kedah pada tarikh yang sama iaitu 2.63,” katanya.

Beliau berkata, hasil tindakan kesihatan awam yang giat dijalankan telah menurunkan sedikit nilai tersebut bagi kedua-dua negeri. 

Dr. Noor Hisham menambah, paling utama tindakan dan komitmen diperlukan daripada semua lapisan dan peringkat masyarakat untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya