Isu calon ketua menteri selesai - Utusan Malaysia

Isu calon ketua menteri selesai

Muhyiddin Yassin melakukan gimik pelancaran Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma di Dataran Bergandang, Beaufort, semalam. Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (kiri). – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEAUFORT: Cakap-cakap siapa calon ketua menteri dianggap terjawab apabila Tan Sri Muh­yiddin Yassin selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan akan menyokong sesiapa sahaja daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) jika berjaya mengetuai kerajaan baharu pada pilihan raya negeri 26 September ini.

Dalam majlis pertemuan bersama peladang, penternak dan nelayan pagi semalam, Perdana Menteri menegaskan, rakyat Sabah perlu memberi kemenangan kepada PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) demi memastikan masa depan yang lebih baik berbanding 26 bulan negeri itu di bawah Parti Wa­risan Sabah (Warisan).

“Saya sebagai ketua kerajaan pusat bila mana nanti 26 hari­bulan kita umum Insya-Allah Gabungan Rakyat Sabah yang ada di dalamnya Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan PBS ini bersatu hati gabung tenaga kita diberikan kepercayaan untuk menguruskan semula negeri Sabah.

“Saya berikan jaminan. Saya akan bagi sokongan penuh kepada siapa sahaja ketua menteri. Ini pen­ting supaya Sabah dapat maju dan membangun lebih pesat ke hadapan,” kata beliau ketika berucap melancarkan Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma di sini.

Isu siapa calon ketua menteri dari kalangan parti-parti dalam GRS mencetuskan polemik apabila Muhyiddin pada 12 September lalu memberi bayangan kemungkinan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor dilantik sebagai ketua menteri jika GRS berjaya menawan Negeri Di Bawah Bayu daripada gabu­ngan Warisan Plus diketuai Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Berucap di pekarangan Ibu pejabat Bersatu Tuaran untuk memberi semangat kepada Hajiji yang mengemukakan pencalonan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, Muhyiddin mahu jentera parti bekerja kuat bagi membantu kemenangan calon gabungan berkenaan.

Berikutan kenyataan Muh­yiddin itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi peringatan kepada rakan sekutu dalam GRS supaya tidak terlalu yakin untuk menang sehingga menjadikan isu calon ketua menteri sebagai taruhan modal berkempen.

Beliau berkata, rasa terlalu yakin hanya akan memakan diri apabila rakyat berasa jelik, lalu menolak GRS.

Ahmad Zahid menegaskan, apa yang penting buat masa ini adalah berusaha untuk menyeberangi garisan merah iaitu memperoleh 37 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan nege­ri yang baharu.

“Ertinya bila kita sudah dapat 37 kerusi, barulah kita layak membentuk kerajaan negeri. Dalam hal ini jangan terlalu ya­kin, rakyat melihat. Kalau kita terlalu yakin menang, rakyat akan tolak kita,” katanya.

Isu siapa bakal ketua menteri Sabah dalam kalangan calon parti-parti dalam GRS dikatakan akan dijadikan bahan kempen oleh Warisan Plus yang mene­tapkan calon ketua menteri tunggal gabungan itu iaitu Mohd. Shafie.

Pilihan raya negeri ke-16 melibatkan perebutan 73 kerusi DUN daripada 447 calon termasuk 56 Bebas daripada 16 parti. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN