Hawar berdarah boleh rebak ke daerah, negeri lain - Utusan Malaysia

Hawar berdarah boleh rebak ke daerah, negeri lain

Muhammad Syukur Khamis melihat kerbau-kerbaunya yang mati akibat serangan wabak hawar di Kampung Kubang Bujuk, Serada, Kuala Terengganu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Penyakit hawar berdarah atau Haemorrhagic Septicaemia (HS) yang dipercayai menyebabkan kematian kepada 41 ekor kerbau di sebuah kandang di Kampung Kubang Bujuk di sini boleh menjangkiti ternakan lain di kawasan sekitar.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr. Mohd. Termizi Ghazali berkata, sekiranya tidak dikawal wabak boleh merebak sehingga ke daerah lain malah ke negeri-negeri berdekatan.

Katanya, penyakit itu mudah merebak kepada lembu dan kerbau menerusi lima cara iaitu pencemaran atmosfera, air minuman dari sungai mengalir, air bertakung, kenderaan selain pelawat.

“Oleh itu, penternak perlu berwaspada dengan mengurangkan atau melarang mana-mana pelawat menghampiri kandang ternakan masing-masing,

“Kita memandang serius situasi ini dan mengarahkan penguatkuasaan sekatan pergerakan terhadap kerbau-kerbau di kandang di Kampung Kubang Bujuk.

“Notis penutupan kandang yang berkuat kuasa hari ini (semalam) bertujuan menyekat pergerakan atau pemindahan keluar kerbau-kerbau di situ kerana kita bimbang risiko penyakit berjangkit ke tempat lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Dalam masa sama, Mohd. Termizi berkata, JPV Terengganu meneruskan usaha pemvaksinan dan pemantauan kes tersebut dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun, katanya, kes kematian mengejut 41 daripada keseluruhan lebih 100 kerbau milik keluarga Muhammad Syukur Khamis, 14, sejak Rabu lalu itu secara tidak langsung menimbulkan keresahan kepada penternak-penternak lain di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama semua penternak agar sentiasa mengawal kandang ternakan masing-masing bagi mencegah jangkitan .

Hawar berdarah mula dikesan di negeri pada 9 Ogos lalu susulan kejadian di Kampung Tuman, Marang yang membabitkan kematian 22 kerbau dan 15 lembu milik 13 penternak dengan kematian terakhir pada 28 Ogos.

Seterusnya, kes sama dilaporkan di Kampung Banggol Peradong di Manir di sini Sabtu lalu membabitkan seorang penternak yang kematian tujuh ekor kerbau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya