KUALA LUMPUR: Pulau peranginan Langkawi di Kedah antara empat kawasan yang masih diklasifikasikan sebagai zon merah selepas mempunyai kadar kes jenayah dan sosial tinggi khususnya dalam masalah penyalahgunaan dadah.
Tiga kawasan lagi ialah Petaling Jaya Selatan di Selangor; Pengkalan Chepa, Kelantan dan Kuala Dungun di Terengganu.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulki i Abdullah berkata, ia adalah empat daripada 12 kawasan yang menjadi projek rintis membasmi penyalahgunaan dadah secara bersepadu.
Kata beliau, berdasarkan pelaksanaan projek itu, empat kawasan berkenaan kekal dengan status merah berikutan ada beberapa indikator yang belum dipenuhi sebelum boleh berubah kategori warna kuning atau hijau.
“Semua itu bergantung sejauh mana pelaksanaan bersama agensi-agensi lain bagi memastikan aktiviti pembekalan dadah dapat disekat di samping bagaimana pihak kita berdepan golongan penagih dadah itu dibawa masuk ke pusat-pusat untuk rawatan selain ditahan bagi tindakan rawatan pemulihan secara mandatori.
“Perubahan warna di satusatu kawasan berkenaan turut mengambil kira permasalahan sosial selain membabitkan dadah,” katanya selepas Pelancaran Program We Love, We Serve, We Hope yang disempurnakan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar di Gombak, dekat sini semalam.
Projek rintis berkenaan diperkenalkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bermula Julai tahun lalu yang kemudian dinilai keberkesanannya sebelum model berkenaan digunakan di lokasi lain di seluruh negara.
Sebanyak 12 kawasan terlibat dalam projek rintis membabitkan Petaling, Sungai Besar dan Felda Gugusan Hulu Selangor, Selangor; Projek Perumahan Rakyat Sungai Bonus, Kuala Lumpur; Felda Keratong 3, Pahang; Kuala Dungun, Felda Lubuk Merbau, Kuala Kedah dan Langkawi di Kedah; Pengkalan Chepa serta Perling dan Parit Sulong di Johor.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin yang hadir sama pada program diterajui AADK itu memberitahu, tiga kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) iaitu Gombak Setia, Sungai Bonus dan Kampung Baru Air Panas turut terlibat dalam projek rintis berkenaan. – UTUSAN ONLINE










