Wujud Akta bahan khayal - Lam Thye - Utusan Malaysia

Wujud Akta bahan khayal – Lam Thye

LEE LAM THYE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa kerajaan mewujudkan undang-undang bahan khayal bagi menangani pelbagai jenis ketagihan termasuk kegiatan menghidu gam dalam kalangan remaja.

Menurut Naib Pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye, pihak berwajib wajar membentuk undang-undang baru selain memberi pendidikan dan kesedaran bagi memastikan isu itu dapat diselesaikan terutama dalam kalangan golongan muda.

“Saya berpendapat tiba masanya Akta Bahan Khayal diwujudkan bagi menangani masalah ketagihan bahan khayal atau inhalan seperti gam dalam kalangan remaja.

“Saya berharap akta baru tersebut akan merangkumi tiga asas penting iaitu program pendidikan dan kesedaran, penguatkuasaan undang-undang dan pemulihan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Masalah ketagihan dalam kalangan belia pada masa ini bukan sahaja melibatkan dadah tetapi juga bahan-bahan yang mudah diperolehi seperti gam, petrol, aerosol, cat sembur, cecair pemetik api dan najis lembu.

Lam thye berkata, akta baru tersebut perlu memberikan kuasa kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk menahan mereka yang menyalahgunakan bahan-bahan berkenaan kerana pada masa ini tiada peruntukan sedemikian dalam undang-undang sedia ada.

“AADK perlu meningkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dan pihak berkepentingan lain untuk menangani masalah ketagihan bahan khayal ini kerana ia tidak mampu dilakukan secara bersendirian.

“Saya berharap rang undang-undang berkaitan dapat dibentangkan dalam persidangan Parlimen akan datang kerana masalah ketagihan bahan khayal ini telahpun berada di tahap membimbangkan apabila kanak-kanak dan remaja melakukan kegiatan tersebut secara terbuka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN