Bidang kuasa mahkamah dengar saman pemula Undang Yang Empat dipertikai
NAZARUDIN SHAHARI (pix MOHD SHAHJEHAN MAAMIN)
SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban hari ini mengarahkan dua defendan dalam saman pemula oleh Datuk Mubarak Dohak bersama lima yang lain terhadap seorang pegawai kerajaan, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan dan kerajaan negeri untuk mengemukakan bantahan rasmi berkait bidang kuasa mahkamah mendengar saman tersebut.
Hakim, Roz Mawar Rozain mengarahkan demikian selepas mendengar bantahan awal dari defendan pertama, Setiausaha DKU Negeri Sembilan, Raja Norazli Raja Nordin dan defendan kedua, DKU Negeri Sembilan.
Kedua-dua defendan yang diwakili peguam, Steven Thiru membangkitkan bidang kuasa Mahkamah Tinggi untuk mendengar permohonan dalam saman pemula itu mengikut Perkara 16(3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Mereka berhujah, berdasarkan peruntukan dalam seksyen itu, mahkamah tersebut tidak mempunyai bidang kuasa mendengar permohonan berkenaan.
Berikutan itu, mahkamah meminta dua defendan tersebut memfailkan affidavit bagi menyokong bantahan tersebut dalam tempoh tujuh hari.
Saman pemula itu difailkan oleh enam plaintif yang menuntut defendan pertama dan kedua menyerahkan kepada mereka minit mesyuarat Sidang Khas DKU pada 17 April lalu.
Sehingga minit mesyuarat berkenaan diserahkan, para plaintiff memohon perintah penggantungan pelaksanaan sebarang penguatkuasaan oleh para defendan yang berkaitan keputusan Sidang Khas DKU tersebut.
Para plaintiff terdiri daripada Mubarak yang didakwa sudah dipecat sebagai Undang Luak Sungai Ujong; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah dan Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin.
Turut dinamakan sebagai plaintiff ialah Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.
Manakala defendan ketiga ialah kerajaan negeri.
Para plaintiff hari ini diwakili oleh tujuh peguam yang diketuai Awang Armadajaya Awang Mahmud manakala kerajaan negeri diwakili Penolong Penasihat Undang-Undang negeri, Ala’uddin Baharom, Peguam Kanan Persekutuan, Amalina Zainal Mokhtar dan Peguam Persekutuan, Mohamad Shafiq Mohd. Sazali.
Ala’uddin yang mewakili kerajaan negeri turut membantah permohonan plaintif untuk mendapatkan minit mesyuarat DKU dengan alasan defendan bukan ahli dewan berkenaan.
“Segala persiapan, penyediaan, penyimpanan dan pengeluaran minit mesyuarat bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Saya percaya bidang kuasa mahkamah perlu diputuskan terlebih dahulu kerana secara amnya minit mesyuarat dan keputusan adalah perkara yang berbeza manakala bagi permohonan ketiga (penggantungan), defendan membantah sekerasnya dan memohon isu berkenaan didengar dahulu,” katanya.
Mahkamah Tinggi kemudian tidak membuat sebarang perintah terhadap permohonan para plaintif untuk menggantung pelaksanaan sebarang penguatkuasaan oleh defendan ketiga yang berkaitan keputusan Sidang Khas DKU tersebut.
Hakim Roz Mawar memberitahu, perintah interim itu tidak dapat dipertimbangkan pada pendengaran hari ini antaranya kerana kekurangan maklumat untuk menyokong permohonan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, para plaintif tidak dihalang untuk mengemukakan permohonan baharu berkaitan isu tersebut yang merupakan perkara ketiga dalam tuntutan saman pemula tersebut.
Mahkamah kemudian menetapkan 28 Julai ini untuk mendengar semula saman pemula itu. – UTUSAN







