Temco dilaksana di Kuala Sanglang berkuat kuasa pukul 10 malam ini - Utusan Malaysia

Temco dilaksana di Kuala Sanglang berkuat kuasa pukul 10 malam ini

AZLAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Kerajaan negeri ini melaksanakan perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul berkuat kuasa pukul malam 10 malam ini, selama 28 hari sehingga 4 September depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, pelaksanaan tersebut dibuat selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan dengan mengambil kira bilangan kes aktif Covid-19 di kawasan terbabit.

“Pengisytiharan ini (Temco) dibuat bagi membolehkan aktiviti pengesanan yang telah dimulakan oleh Jabatan Kesihatan negeri sejak 7 Ogos 2020 dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan di kedua-dua kampung terbabit.

“Penduduk di kawasan terbabit dipohon supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa kerana pelaksanaan Temco akan mengguna pakai Prosedur Operasi Standart (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sedia ada dengan tambahan kepada pelaksanaan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk ke kawasan Temco.

“Orang awam yang berada di luar kawasan Temco tidak dibenarkan masuk kecuali mereka yang terlibat dengan memberikan perkhidmatan perlu (essential services),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Azlan, penduduk di dua kawasan tersebut diminta supaya mematuhi arahan kuarantin di rumah yang telah dikeluarkan kepada penduduk setelah menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Sanglang.

Katanya, sepanjang tempoh kuarantin itu, hanya ketua isi rumah sahaja yang dibenarkan untuk keluar dari kediaman masing-masing bagi membeli barangan keperluan harian sementara menunggu seluruh ahli isi rumah memperolehi arahan pelepasan dari Jabatan Kesihatan negeri.

“Arahan pelepasan  akan dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan negeri selepas keputusan ujian saringan Covid-19 didapati negatif. 

“Keputusan ujian saringan dijangka diperolehi tidak melebihi empat hari daripada tarikh ujian saringan dilaksanakan,” katanya.

Kata Azlan lagi, kerajaan negeri amat prihatin akan kesulitan yang terpaksa dihadapi dan akan menyalurkan bantuan kepada penduduk di kedua-dua kampung terlibat. 

“Kerajaan negeri menyarankan kepada seluruh rakyat Perlis supaya terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan serta mengamalkan pembudayaan norma baharu menggunakan pendekatan cegah, amalkan, patuhi dan pantau,” katanya.

Kluster pesakit bawah siasatan (PUI) Sivagangga merebak ke negeri ini dengan 11 kes termasuk melibatkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul, Sanglang, Arau telah disahkan positif Covid-19.

Sehubungan itu, seramai 872 penduduk di dua kampung terbabit akan menjalani saringan bagi membendung penularan wabak tersebut.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.