Siap siaga pembukaan sempadan esok - Utusan Malaysia

Siap siaga pembukaan sempadan esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Kerajaan bersiap siaga sepenuhnya menjelang pembukaan fasa pertama sempadan Malaysia-Singapura bermula esok yang telah ditutup sejak Mac lalu akibat pandemik Covid-19. 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pembukaan itu melibatkan kemudahan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).

Menurutnya, Wisma Putra dan pihak berkuasa Singapura telah melakukan perbincangan teliti sebelum mencapai persetujuan pembukaan sempadan. 

“Apa yang dibincangkan akan bermula esok, apa kategori dan berapa jumlah yang dibenarkan juga telah ditetapkan. 

“Bila sesuatu keputusan dibuat sudah tentu ia melibatkan pelarasan daripada semua agensi kerajaan. Tidak timbul masalah berhubung perkara itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ladang Grisek di sini hari ini. 

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mah Hang Soon. 

Ka Siong turut memberitahu, pembukaan sempadan secara berperingkat itu akan turut memberi kesan positif kepada sektor terlibat khususnya pengangkutan awam. 

“Sebarang pembukaan (sempadan) pasti akan membantu sektor ekonomi tempatan termasuklah pengangkutan awam. 

“Apabila rakyat Malaysia pulang dari Singapura, mereka akan menggunakan pelbagai jenis pengangkutan untuk pulang ke kampung halaman sama ada melalui laluan udara atau darat,” ujarnya. 

Terdahulu, kerajaan membenarkan pembukaan sempadan bermula esok melibatkan kemudahan RGL dan PCA. 

RGL menetapkan 400 individu warga asing yang menetap di Singapura yang mahu memasuki Malaysia bagi tempoh singkat untuk tujuan rasmi dan urusan perniagaan dalam tempoh seminggu.

Manakala PCA pula membenarkan seramai 2,000 individu sehari melibatkan warganegara Singapura dan penduduk tetap di Singapura yang mempunyai Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (PLSJP) untuk bekerja dan berniaga. 

 

Habis..

 

kapsyen

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong hadir ke majlis merasmikan pembukaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ladang Grisek di sini hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN