Patuhi SOP hantar anak ke KAFA - Utusan Malaysia

Patuhi SOP hantar anak ke KAFA

GURU KAFA dan masyarakat setempat membuat tanda laluan pematuhan SOP Covid-19 di sekolah KAFA di Felda Sungai Pancing Utara, Kuantan, Pahang. - FOTO/ASZAHARI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Ibu bapa dan penjaga pelajar Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini diingatkan supaya menjaga serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika menghantar dan mengambil anak mereka yang memulakan sesi pembelajaran bermula esok. 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, sesi persekolahan yang tertangguh sejak 18 Mac lalu kini dibuka dengan pemantauan SOP yang ketat kepada guru dan pelajar di luar dan dalam kelas.

“Namun apa yang membimbangkan sikap ibu bapa dan penjaga sendiri yang mungkin mengabaikan SOP ketika menghantar dan mengambil anak mereka di sekolah.

“Saya berharap mereka sentiasa memakai pelitup muka yang diwajibkan pemakaiannya di tempat awam dan sesak bermula semalam bagi mengelak dikenakan denda RM1,000,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Pembelajaran KAFA bermula esok melibatkan 578 buah sekolah dalam pelbagai kategori sama ada di masjid, surau, sekolah KAFA, sekolah kebangsaan dan sekolah agama rakyat.

Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) turut memberi kebebasan kepada pentadbiran sekolah KAFA bagi melakukan penggiliran jadual waktu mengajar jika kelas tidak mencukupi.

Syed Ibrahim berkata, ibu bapa tidak perlu risau tentang keselamatan anak mereka kerana pihaknya sudah memberikan taklimat kepada guru bagi pelaksanaan SOP bermula 16 Julai lalu.

Katanya, semua guru telah diberikan peranan masing-masing termasuk penyelia daerah yang akan memantau pelaksanaan SOP bagi mengelak jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar. 

Jelasnya, semua pihak perlu memainkan peranan bersama bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan komuniti KAFA dengan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.

Sementara itu, Guru Besar KAFA Felda Sungai Pancing Utara, Nazirah Harun berkata, pihaknya bersedia menerima pelajar dengan membuat persediaan pematuhan SOP Covid-19 membabitkan kerjasama masyarakat kampung.

“Satu gotong-royong telah diadakan dengan kerjasama ibu bapa dan komuniti setempat bagi proses menyahkuman peralatan sekolah serta membuat tanda laluan bagi mematuhi syarat yang ditetapkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya