PETALING JAYA: Sistem Pendidikan Islam perlu dirombak secara keseluruhan bagi merealisasikan hasrat melahirkan pewaris negara yang bermodal insan dan berakhlak tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan IKRAM, Prof. Dr. Omar Yaakob berkata, satu proses pembaharuan, penambahbaikan dan inovasi perlu dilakukan oleh kerajaan terhadap sistem pendidikan agama.
Namun, menurut beliau, usaha tersebut tidak dihadkan kepada Pendidikan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) sahaja tetapi sistem Pendidikan Islam secara keseluruhan.
“Ini kerana kita mempunyai pelbagai bentuk dan sistem Pendidikan Islam yang dilaksanakan di bawah tadbir urus yang berlainan.
“Oleh kerana itu rombakan dan penambahbaikan keseluruhan sistem Pendidikan Islam secara komprehensif perlu dibuat melibatkan semua sistem pendidikan di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Pendidikan dan Majlis Agama Negeri, “ katanya ketika di hubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, media melaporkan, sistem KAFA perlu sentiasa dinamik, progresif serta bersedia melalui proses perubahan seiring peredaran zaman.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ini berkata, peranan sistem pendidikan tersebut sangat relevan dalam mendukung aspirasi pendidikan negara ke arah melahirkan modal insan yang berakhlak tinggi.
Bagaimanapun, Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia Barat (KKGAMB) mendakwa usaha tersebut boleh dilakukan sekiranya guru KAFA menerima sejumlah pendapatan yang wajar.
Sementara itu, Omar berkata, kurikulum KAFA sendiri harus disesuaikan dengan kurikulum mata pelajaran Pendidikan Islam Sekolah Rendah.
“Isu pelajar belajar terlalu banyak content, diajar banyak ilmu tetapi kurang membuahkan amalan, sikap dan sahsiah perlu diberi perhatian. Kurikulum perlu ke arah pembentukan karakter dan kemenjadian pelajar, seperti disebutkan oleh Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan boleh mempertimbangkan penggunaan premis-premisnya untuk melaksanakan proses pengajaran yang lebih baik.
Jelasnya, kerajaan juga perlu pertimbang langkah sama yang dilakukan oleh kerajaan Selangor dan Johor iaitu membina premis khas.
“Kebanyakannya menggunakan premis yang disediakan oleh masjid dan surau yang mempunyai prasarana terhad untuk proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berjalan dengan sempurna.
“Cuma terdapat isu dari sudut pertanggungjawaban dari segi bil utiliti, kerosakan, kebersihan dan seumpamanya,” katanya.
Katanya, kerajaan juga perlu melakukan penambahbaikan dari sudut latihan dan skim perkhidmatan memandangkan kebanyakan guru KAFA tidak terlatih serta merupakan guru yang dilantik secara Kontrak.
Tambahnya, jika sistem Pendidikan Islam tidak dapat diperkasakan maka Pencapaian Hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan seperti disebutkan Timbalan Perdana Menteri akan terbantut.
“Jika kita mahu mencapai kemenjadian murid, pembentukan karakter, sikap dan akhlak dengan sempurna maka usaha perlu dipertingkatkan semua pihak dari setiap aspek,” ujarnya. – UTUSAN










