MyDebit inisiatif tanpa tunai di hospital kerajaan - Utusan Malaysia

MyDebit inisiatif tanpa tunai di hospital kerajaan

Adham Baba (dua dari kanan) bersama Pengarah Bahagian Pengurusan Pihak Berkepentingan Payment Network Malaysia Sdn.Bhd, Firdaus Ghani (dua dari kiri) meleretkan kad ATM MyDebit sebagai simbolik pelancaran Kempen Pembayaran Dengan Kad ATM MyDebit Di Hospital dan Klinik Kesihatan, di Putrajaya, hari ini. Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. FOTO: AQILAH MIOR KAMARULBAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Inisiatif pembayaran tanpa tunai di semua hospital dan klinik kerajaan  dilihat sebagai satu usaha terbaik dalam menangani pandemik Covid-19 di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata,  langkah itu selari dengan saranan kerajaan untuk mewujudkan masyarakat tanpa tunai dan menggalakkan pembayaran tanpa sentuh serta merancakkan penggunaan perkhidmatan dalam talian bagi perkhidmatan kerajaan.

Katanya,  jumlah kehadiran pesakit yang semakin bertambah menyebabkan fasiliti  kementerian memerlukan proses pendaftaran yang lebih cekap, justeru inisiatif memperkenalkan MyDebit merupakan satu langkah yang baik.

Kementerian  menerima bilangan pesakit berbayar yang ramai di seluruh negara iaitu 37.48 juta orang pada 2019 dan sebanyak 12.74 juta pesakit setakat Jun tahun ini sekali gus memerlukan inisiatif baharu bagi memudahkan orang awam mendapat perkhidmatan.

“Diharapkan menerusi sistem bayaran MyDebit, berjuta-juta pesakit dapat mengelakkan risiko jangkitan penyakit termasuk Covid-19.

“Kami berharap kempen ini juga dapat meningkatkan lagi kecekapan penyampaian perkhidmatan di fasiliti-fasiliti kementerian selain menyediakan kemudahan berkualiti dan mesra pelanggan,” katanya ketika merasmikan Kempen Pembayaran Dengan Kad ATM MyDebit Di Hospital dan Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan, di sini hari ini.

Kempen berkenaan bermula pada 1 Julai lalu dan akan berlangsung sehingga 31 Disember ini.

Tambah Adham, kementerian menyasarkan kesemua hospital dan klinik kerajaan dilengkapi terminal pembayaran menjelang akhir tahun ini.

“Ini bermakna sistem ini boleh digunakan secara menyeluruh pada awal tahun depan,” ujarnya.  -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya