Tolak sentimen politik melampau, rakyat diingatkan pelihara perpaduan kaum - Utusan Malaysia

Tolak sentimen politik melampau, rakyat diingatkan pelihara perpaduan kaum

MUSA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menjelang sam­butan kemerdekaan negara ke-63 tahun ini, rakyat Malaysia di­ingatkan supaya memelihara perpaduan kaum serta keamanan negara agar kemakmuran negara dapat terus dinikmati bersama.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, rakyat tidak seharusnya membiarkan perpaduan dalam kalangan rakyat dicemarkan oleh sentimen politik yang me­lampau dan menjurus kepada kebencian.

“Selalunya konflik dalam ka­langan rakyat diwujudkan oleh mereka yang terlibat de­ngan politik dan penyokong-penyokong mereka. Ini akan mewujudkan pengasingan d­a­lam kalangan rakyat kerana agenda tertentu oleh sesete­ngah pihak.

“Pemimpin-pemimpin politik harus sedar bahawa politik kebencian boleh merosakkan hubungan dan menyebabkan perpecahan antara kaum. Oleh itu, ahli-ahli politik dan penyo­kong mereka perlu menghentikan atau menghindarkan diri daripada politik kebencian,” ka­tanya kepada Utusan Malaysia.

Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-63 pada 31 Ogos ini.

Dalam tempoh beberapa tahun ini, pelbagai konflik berlaku sehingga menyaksikan keraja­an bertukar sebanyak dua kali dalam tempoh dua tahun dan peningkatan suhu perkauman akibat pelbagai isu.

Sehubungan itu, Musa turut mengingatkan kerajaan supaya sentiasa berusaha menggalakkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan mengenakan hukuman tegas kepada mereka yang memporak-perandakan hubu­ngan antara kaum.

“Janganlah ada pihak-pihak dalam kalangan parti politik menghasut atau menggalakkan permusuhan untuk menyokong parti atau ideologi mereka. Tindakan tegas terhadap mereka ini perlu diambil jika mereka me­nyalahi undang-undang.

“Kerajaan juga perlu menye­rapkan semangat cintakan negara serta semangat patriotik bagi memastikan negara ini aman dan rakyat bekerjasama dengan pihak penguat kuasa bagi menjamin keselamatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×