ALOR SETAR: Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) di sini menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan tiga universiti bagi memacu penyelidikan dalam bidang keusahawanan sosial terutama pembasmian kemiskinan dalam masyarakat di kampus universiti itu semalam.
MoA melibatkan universiti swasta milik Yayasan Albukhary diadakan dengan Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Negeri Sembilan dan satu memorandum persefahaman (MoU) bersama badan bukan kerajaan (NGO), Yunus Thailand.
Naib Canselor AIU, Datuk Dr. Abd. Aziz Tajuddin berkata, kerjasama strategik itu akan meningkatkan pembangunan yang relevan dalam bidang berkaitan sekali gus dipratikkan dalam pengajian Keusahawanan Sosial di universiti berkenaan.
“Kalau kita berjaya, AIU akan beri kursus membantu masyarakat dunia. Sebagai universiti kita mesti menjalankan penyelidikan dan penumpuan kita adalah kepada keusahawanan sosial.
“Kita nak menghasilkan usahawan sosial kerana antara kehadiran AIU di Kedah adalah untuk memastikan manfaatnya kepada masyarakat, “ katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut.
Tambah beliau, AIU dan universiti berkenaan akan menjalankan satu penyelidikan yang berkaitan dengan kemiskinan untuk mentransformasikan masyarakat tempatan ke arah kehidupan sosial yang lebih baik.
“Mungkin Baling dan Sik ini tempat yang perlu kami beri perhatian dahulu dan kita akan fokus di situ serta buat kajian melihat kepada penduduk, kemiskinan di kawasan itu,” katanya.
Tambahnya, kerjasama dengan pihak berkenaan diharapkan dapat memanfaatkan penduduk termasuk di peringkat antarabangsa dalam pembasmian kemiskinan.
“Kita minta bantuan daripada rakan-rakan kita (universiti) sebab kita bekerjasama secara bijak sebab kita tahu kita ada kepakaran dalam membasmi kemiskinan,” katanya.