SEREMBAN: Felda perlu diberikan insentif bagi membangunkan asetnya dalam usaha mempelbagai sektor tanaman dan penternakan yang dilihat mempunyai potensi besar.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu merupakan langkah radikal yang perlu diambil terhadap Felda sebagai salah satu strategi khusus kerajaan dalam meningkatkan ekonomi luar bandar.
“Pertama ialah lakukan sesuatu yang radikal tentang Felda, berikan insentif segera untuk mereka membangun aset kepelbagaian penanaman dan penternakan. Bidang penternakan adalah sangat berpotensi dan mampu mengurangkan kebergantungan kita kepada import daging luar.
“Kedua, menjana semula industri perikanan secara komprehensif, ikan mesti menjadi sumber yang cukup kepada negara dan dengan lebihan untuk dieksport. Malaysia adalah negara lautan dan potensi lautan kita sangat luar biasa tetapi tidak dioptimumkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohamad turut berpandangan, Malaysia juga mesti mempunyai strategi khusus dengan beberapa negara di Asia Barat bagi menjadikan negara ini sebagai ‘lembah makanan’ negara-negara terbabit.
“Kekurangan tanah subur, air dan pekerja telah menjadikan negara-negara Timur Tengah sangat bergantung kepada import bahan makanan.
“Malaysia mesti mendahului persaingan dengan menawarkan kepakaran, sumber dan logistik untuk menjadi pengeksport utama sumber makanan kepada negara Timur Tengah,” katanya.
Tambah beliau, kemahiran generasi muda luar bandar juga mesti segera dipertingkatkan ketika keadaan ekonomi yang buruk menghalang mereka berhijrah ke bandar.
“Mereka mesti diberikan kemahiran sesuai dengan kepentingan ekonomi luar bandar dan membangunkan daerah kehidupan mereka.
“Kawasan luar bandar Malaysia mesti dijadikan hab pertumbuhan baru yang lestari kepada ekonomi Malaysia.
“Dalam ghairah kita dengan segala macam ‘gig economy’, ‘network economy’ dan pelbagai lagi, akhirnya ekonomi tradisional juga yang sebenarnya benteng utama kepada kemapanan ekonomi negara. Membelakangkan potensi luar bandar Malaysia adalah membelakangkan potensi sebenar Malaysia,” katanya.










