KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan kompaun kepada ke atas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.
Menteri tersebut didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 7) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).
Menurut KKM, sebaik menteri tersebut tiba dalam negara, sampel nasopharyngeal swab telah diambil pada hari yang sama dan didapati negatif.
“Ujian saringan COVID-19 kali kedua dan ketiga juga telah diambil dan kedua-duanya menunjukkan keputusan negatif.
“Oleh kerana beliau gagal mematuhi peraturan di bawah Akta 342, Pegawai Diberi Kuasa (PDK) telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 kepada menteri tersebut pada 7 Ogos dan beliau telah menjelaskan kompaun tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar.
Mohd Khairuddin telah menimbulkan banyak spekulasi dan menimbulkan kemarahan daripada segelintir rakyat apabila beliau dikatanya terlepaskan daripada hukuman dan mengabaikan tanggungjawab beliau untuk menjalani kuarantin kendiri 14 hari.
Menteri itu dan seluruh keluarga telah pulang daripada Turki pada 7 Julai lepas dan beliau hadir ke parlimen enam hari selepas itu iaitu pada 13 Julai.










