Kes bunuh pensyarah: Polis panggil pihak ketiga beri keterangan  - Utusan Malaysia

Kes bunuh pensyarah: Polis panggil pihak ketiga beri keterangan 

KERETA Perodua Myvi putih yang ditemukan bersama-sama mayat seorang pensyarah di Tasik PKNS, Pinggiran Cyberjaya, Dengkil, Sepang, Selangor. - GAMBAR/Ihsan PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Polis akan memanggil pihak ketiga bagi membantu siasatan kes pembunuhan pensyarah di Tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya dekat sini, Rabu lalu.

Ini kerana pihak ketiga yang wujud dalam hubungan suami isteri itu akan dijadikan saksi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya telah mengenal pasti pihak ketiga berkenaan yang berasal dari Terengganu dan seorang lagi belum dikenal pasti identitinya.

“Setakat ini, kita belum mengambil keterangan mereka, tetapi, ia sesuai untuk diambil (keterangan). Saya percaya, pasukan siasatan kami telah pun mengenal pasti siapa mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah KLIA di sini hari ini.

Rabu lalu, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Maizatulniza Othman, 40, maut dipercayai dijerut suaminya di Tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya dekat sini.

Allahyarham dijerut dengan tudung yang dipakai dan mayatnya ditinggalkan dalam kereta Perodua Myvi berwarna putih di tasik berkenaan.

Suspek yang merupakan sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan dan juga ahli jawatankuasa parti politik ditahan reman 31 Julai lalu sehingga 6 Ogos ini.

Tambah Wan Kamarul Azran, keterangan terhadap anak perempuan mangsa juga telah diambil pada 31 Julai lalu.

“Kini, anak perempuan itu berada dalam jagaan saudara mereka di Kajang, Selangor,” katanya.

Menurut Wan Kamarul Azran, tempoh reman bagi suspek mungkin  disambung dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya