TANJUNG MALIM: Kerajaan sedang membina dua menara telekomunikasi baharu di sini untuk menambah baik perkhidmatan jalur lebar di kawasan Slim.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia dilaksanakan di bawah Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) di Felda Changkat Sulaiman dan Changkat Serunai.
Menurutnya, menara itu dijangka mula beroperasi menjelang suku kedua tahun depan.
“Kerajaan juga merancang untuk membina lima lagi menara baharu perkhidmatan 4G dan dalam proses menaik taraf 25 alat pemancar di menara sedia ada di kawasan ini daripada perkhidmatan 3G kepada 4G.
“Di Felda Besout, sebuah alat pemancar di menara sedia ada telah dinaik taraf kepada perkhidmatan 3G dan 4G, awal tahun ini,” katanya pada sidang media Majlis Ramah Mesra bersama Media di Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan juga telah mewujudkan tujuh pusat internet Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di dalam DUN Slim setakat ini.
Beliau berkata, lima daripadanya beroperasi di Felda Besout 1, 2, 3, 4 dan 5 manakala setiap masing-masing satu di Trolak Utara dan Trolak Selatan.
“Pusat internet ini dapat meningkatkan liputan dan kualiti capaian Internet di kawasan Slim sekaligus membolehkan penduduknya mendapat manfaat menyeluruh dan membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi,” katanya.
Saifuddin berkata, kementerian sedang menambah baik 851 premis sedia ada di seluruh negara yang menggunakan rangkaian jalur lebar tembaga kepada rangkaian jalur lebar rangakain optik yang boleh menyokong perkhidmatan internet berkelajuan tinggi sehingga 1Gbps.
“Inisiatif penaiktarafan yang akan dilaksanakan oleh Telekom Malaysia Berhad dan dijangka siap menjelang suku pertama tahun 2022,” katanya.










