TEMERLOH: Jika pergi ke Pasar Mentakab di sini, dua cabaran harus dilalui orang ramai iaitu berdepan dengan anjing liar dan longkang tidak ditutup.
Tinjauan Utusan Malaysia di pasar basah itu mendapati terdapat kira-kira 10 ekor anjing liar berkeliaran di hadapan pasar.
Kumpulan anjing liar sering mengekori orang ramai yang membawa bungkusan ikan dan ayam.
Gelagat haiwan itu merimaskan dan pelanggan pasar takut apabila ada anjing tersebut bergaduh sesama mereka.
Selain itu, di pintu masuk pasar mendapati terdapat lima longkang yang terlopong bagaikan ‘jerangkap samar’ menunggu mangsa terutama kanak-kanak dan warga emas.
Ada antara penutup longkang rosak dengan besi jeriji terjulur boleh berbahaya sekiranya ada individu yang terjatuh.
Seorang peniaga ikan, Marizi Suhaimi, 60, berkata, sudah ada individu jatuh ke longkang kerana ketiadaan penutup longkang.
“Nasib baik tiada yang cedera parah, namun ia tetap berbahaya. Sebagai peniaga, kami sering memerhati setiap pengunjung dan memberitahu mereka agar berhati-hati,” katanya di sini semalam.
Menurut Marizi, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak Majlis Perbandaran Temerloh dan berharap ia dapat diperbaiki segera.
Seorang peniaga ayam, Zaini Mokhtar, 60, berkata, kehadiran anjing-anjing liar menyebabkan pengunjung dan peniaga berasa tidak selesa selain perlu berhati-hati.
Katanya, meskipun tiada kejadian digigit anjing tetapi peniaga terpaksa ‘berkawal’ agar anjing tidak memasuki premis.
“Biasanya orang Melayu akan lari apabila nampak anjing yang ada kalanya mengekori mereka kerana ingin mendapatkan makanan,” katanya.
Seorang pengunjung, Rosedi Othman, 67, berkata, dia terpaksa menemani isteri setiap kali ke pasar kerana bimbang diserang anjing liar.
Katanya, selain mengancam keselamatan, anjing-anjing liar menyebabkan kawasan itu kotor kerana menjadikan kawasan tempat letak kereta sebagai tempat `beriadah’ mereka. – UTUSAN ONLINE











