KUALA LUMPUR: AmBank (M) Berhad (AmBank) berhasrat meluluskan sehingga RM300 juta pembiayaan kepada pemaju hartanah dan rumah mampu milik, Lagenda Properties Berhad (Lagenda) bagi projek pembangunan rumah mampu milik.
Ia melibatkan pembiayaan bagi projek semasa dan akan datang dengan anggaran 6,400 rumah mampu milik.
Sejak 2012, AmBank telah meluluskan kemudahan pembiayaan sebanyak RM480 juta termasuk pembiayaan terbaharu berjumlah RM150 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, pihaknya kagum dengan komitmen Lagenda terhadap perumahan mampu milik dan menyokong usaha itu dengan menyediakan kemudahan pembiayaan yang optimum kepada pelanggan.
“Ia juga seiring hasrat kami untuk menyokong skim rumah mampu milik seperti yang disaran oleh kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar di majlis Menandatangani Perjanjian Pembiayaan di Hotel Sheraton, dekat sini semalam.
Ujar Sulaiman, golongan pendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan pertengahan (M40) berpeluang memiliki rumah sendiri dengan pembinaan rumah mampu milik itu.
“Penyediaan rumah mampu milik sangat penting dan memberi peluang yang besar kepada B40 dan M40 untuk memiliki rumah sendiri dengan harga yang berpatutan,” katanya.
Ujarnya, AmBank menyokong pengenalan semula kempen pemilikan rumah baru-baru ini di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Nasional (Penjana) yang menawarkan pengecualian duti setem dan kadar pinjaman yang rendah.
Sementara itu, Pengarah Urusan Lagenda, Datuk Jimmy Doh Jee Ming berkata, pembiayaan AmBank membantu syarikat memenuhi permintaan rumah mampu milik dalam kalangan kumpulan tertentu seperti B40.
“Model perniagaan unik Lagenda membolehkan kami menjual sehingga 30 peratus lebih murah berbanding harga kompetitif rumah dalam pasaran kini, iaitu di bawah RM200,000 seunit,” katanya.
Lagenda mempu merekodkan nilai agregat pembangunan kasar bernilai RM2.1 bilion, penjualan belum direkodkan sebanyak RM532 juta beserta keluasan tanah kira-kira 485.62 hektar yang akan dibangunkan.
Lagenda telah mengambilalih tiga syarikat iaitu Blossom Eastland Sdn. Bhd., Rantau Urusan (M) Sdn. Bhd. dan Yik Wang Trading Sdn. Bhd.
Lagenda kini mempunyai dua projek perumahan rumah mampu milik, Bandar Baru Setia Awan Perdana dan Lagenda Teluk Intan di Perak. – UTUSAN ONLINE










