PKPP: Bekalan makanan mencukupi - Utusan Malaysia

PKPP: Bekalan makanan mencukupi

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat semalam, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan.

Katanya, ia melibatkan 718 premis perniagaan termasuk peruncit sebanyak 515 premis, pemborong (173 premis) dan pengilang sebanyak 30 premis.

“Pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga telah melakukan 1,478 pemeriksaan khas Pematuhan Prosedur Operasi Standard  (SOP) PKPP. 

“Sebanyak 1,462 premis mematuhi SOP ditetapkan manakala selebihnya diberi nasihat kerana tidak patuh,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sejak 13 Mei 2020, sebanyak 128,437 premis diperiksa oleh KPDNHEP dan daripada jumlah itu, 122,618 premis didapati patuh kepada SOP manakala 5,522 premis telah diberi nasihat. 

Sebanyak 297 premis pula telah diberi amaran kerana tidak patuh SOP.

Dalam tempoh PKPP ini, tambah Ismail Sabri, pengusaha dan orang ramai diminta supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutama dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian.

Mengenai rentas sempadan, beliau menegaskan, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki negara secara haram.

“Agensi-agensi penguat kuasa terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong-lorong tikus,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya