Gembira tatap semula Utusan Malaysia - Utusan Malaysia

Gembira tatap semula Utusan Malaysia

HALIMAH Mat Aris, 74, membaca Utusan Malaysia ketika ditemui di Silibin, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiada perkataan dapat menggambarkan kegembiraan seorang wanita di sini, Halimah Mat Aris, 74, apabila dapat kembali menatap akhbar Utusan Malaysia yang diterbitkan semula hari ini.

Sejak penerbitan akhbar itu dihentikan pada Oktober tahun lalu, Halimah rindu untuk membaca semula akhbar yang dikenalinya sejak tahun 50-an lagi.

Menurutnya, sepanjang akhbar Utusan Malaysia tidak diterbitkan, dia melanggan akhbar lain namun mengakui tidak sama seperti membaca Utusan Malaysia.

“Sebaik sahaja mendapat tahu Utusan Malaysia akan diterbitkan semula hari ini, sejak semalam lagi saya sudah berpesan kepada cucu supaya membelinya pagi ini.

“Sudah tentu seronok apabila akhirnya dapat membaca semula Utusan Malaysia. Bagi saya ia akhbar yang lengkap, lenggok bahasanya menarik dan mudah difahami,” katanya ketika ditemui di Taman Silibin di sini hari ini.

Zulkifli Yusof, 62, dari Taman Lapangan Taman Jaya di sini berkata, Utusan Malaysia tetap menjadi pilihan utamanya sejak dahulu lagi.

“Saya gembira sebaik sahaja mendapat tahu Utusan Malaysia akan diterbitkan semula dan tidak melepaskan peluang membelinya hari ini,” katanya.

Peniaga akhbar di Silibin di sini, K. Balan, 53, berkata, Utusan Malaysia mendapat sambutan hangat daripada pembaca pada hari pertama penjualannya.

Menurutnya, dalam tempoh tidak sampai dua jam, naskah akhbar itu yang dijual di kedainya habis terjual.

“Ramai yang ternanti-nantikan penerbitan semula akhbar ini malah sejak beberapa hari lalu ramai yang bertanya benarkah Utusan Malaysia akan berada di pasaran hari ini.

“Apabila Utusan Malaysia diterbitkan semula hari ini, ramai yang membelinya namun ada juga yang hampa kerana sudah habis terjual,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya