Bukit Malut harus `dibersihkan’ - Utusan Malaysia

Bukit Malut harus `dibersihkan’

Penempatan haram yang dibina di atas tanah rizab hutan paya bakau di Bukit Malut, Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Penduduk pulau peranginan ini menggesa kerajaan Persekutuan melakukan pemutihan ke atas status kerakyatan kira-kira 10,000 warga Myanmar yang mendiami Bukit Malut di sini bagi membersihkan imejnya sebagai kawasan penempatan haram pendatang asing tanpa izin (PATI).

Isu penempatan 2,500 buah rumah tidak berkesudahan sekiranya kerajaan tidak memulakan usaha mengenal pasti mereka yang diiktiraf sebagai rakyat Malaysia dengan memiliki kad pengenalan sah.

Dalam kalangan warga asing tersebut, segelintir didakwa tiada dokumen pengenalan diri termasuk memegang kad pengenalan palsu.

Difahamkan penduduk tersebut yang dikenali sebagai Melayu Islam Kedah (MIK) dari Myanmar mula mendiami perkampungan tersebut sejak awal 80-an dan mereka bukan dalam kalangan pelarian etnik Rohingya seperti didakwa.

Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Langkawi, Ali Selamat berkata, kerajaan Persekutuan perlu menyusun semula perkampungan Bukit Malut dengan mengenal pasti mereka yang mendapat kerakyatan Malaysia.

Menurut beliau, bagi mereka yang tiada dokumen perlu diambil tindakan termasuk menghantar pulang secara sukarela.

“Jumlah penduduk dan rumah bertambah setiap masa. Mereka terus menceroboh tanah rizab hutan paya bakau,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tinjauan mendapati kebanjiran penduduk warga asing yang membina rumah sesuka hati bakal mengundang masalah perkampungan atas air seperti dialami di Sabah.

Sementara itu, Setiausaha Gabungan Sahabat Langkawi, Mohd. Zaidi Che Muhamad berkata, penempatan dan persekitaran di Bukit Malut mencacatkan pemandangan pulau peranginan bertaraf dunia itu.

“Pembangunan sektor pelancongan di Langkawi semakin berkembang dan sepatutnya perkampungan haram itu disusun semula tanpa mengetepikan kepentingan penduduk tempatan,” katanya.

Pengerusi Persatuan Putra Malaysia (Putra) Langkawi, Mohd. Ridzuan Abd. Hamid pula berkata, kerajaan perlu memandang serius mengenai kemasukan etnik Rohingya ke pulau ini.

“Dibimbangi jumlah warga Rohingya semakin bertambah sehingga menimbulkan masalah dan beban kepada kerajaan seperti situasi yang berlaku di Bukit Malut,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor memberitahu, kerajaan negeri akan mendapatkan penjelasan segera mengenai status penempatan di Bukit Malut daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Saya fikir MKN sudah ada rancangan yang belum didedahkan kepada umum,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya