KYIV: Usaha Russia untuk meningkatkan ketegangan melalui Belarus dilihat semakin ketara, termasuk penghantaran lebih banyak senjata nuklear serta pelaksanaan latihan perang bersama, ketika kempen perang daratnya di Ukraine semakin lemah.
Panglima Tertinggi Ukraine, Oleksandr Syrskii, berkata negaranya kini mengambil alih inisiatif taktikal di medan perang.
Beliau dipetik oleh majalah Militarnyi sebagai berkata, jumlah serangan ofensif Ukraine terhadap kedudukan Russia kini melebihi serangan yang dilancarkan oleh pihak Moscow terhadap negara itu.
Pasukan Ukraine mampu melakukan perkara itu kerana tentera Russia semakin kekurangan anggota untuk menjalankan operasi ofensif, katanya.
“Sejak awal 2026, jumlah keseluruhan kerugian musuh melebihi 141,500 orang, di mana lebih 83,000 daripadanya adalah kerugian tidak dapat diganti,” tulis Syrskii di saluran Telegram miliknya.
Perkhidmatan Perisikan Luar Ukraine percaya Russia tidak mampu menampung semula kehilangan lebih 1,000 anggota sehari, malah tahun ini hanya merekrut sekitar 800 hingga 930 orang sehari, menyebabkan kekurangan ketara kekuatan di medan perang.
Sebagai tindak balas, katanya, 40 wilayah Russia meningkatkan bonus pendaftaran antara 30 hingga 100 peratus.
Dalam usaha meningkatkan kekuatan tentera Russia, Presiden Vladimir Putin memudahkan prosedur pemberian kewarganegaraan bagi penutur bahasa Russia di wilayah Transnistria, Moldova.
“Russia sedang mencari askar baharu dengan cara ini.
“Kami percaya pada masa ini, potensi untuk mobilisasi secara tersembunyi di Russia adalah tidak mencukupi,” kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, yang memaklumkan beliau menerima maklumat Russia cuba menggerakkan tambahan 100,000 anggota tentera.
Kelmarin, Russia menuduh Ukraine bertanggungjawab terhadap serangan maut di bahagian Luhansk yang dikuasainya.- AL JAZEERA










