SAUDARA PENGARANG,
LAUNGAN Merdeka! Merdeka! Merdeka! bergema setiap kali sambutan Hari Kebangsaan. Saya mendapati turut melaung perkataan keramat itu adalah kanak-kanak.
Bagaimanapun, adakah anak-anak kita benar-benar faham akan erti laungan kemerdekaan tersebut? Selain daripada melepaskan negara daripada belenggu penjajahan, kita seharusnya mendidik anak-anak bahawa merdeka juga bermaksud menjadi seorang yang berdikari dan berdisiplin.
Sebagai ibu bapa, kita seharusnya betul-betul memahami erti kemerdekaan supaya ia dapat ditanam dalam diri anak-anak. Bantulah anak-anak merdeka dengan menjadi seorang yang boleh berdikari tanpa memerlukan bantuan orang lain pada setiap masa.
Tidak wajar ibu bapa berterusan menentukan perjalanan hidup anak-anak walaupun mereka telah dewasa. Malang sungguh ibu bapa yang masih sayang untuk melepaskan anak-anak hidup berdikari.
Sikap ibu bapa seperti inilah yang mengganggu perkembangan minda, kebebasan memilih kerjaya yang diminati malah bakal merosakkan masa depan anak-anak dalam membantu membangunkan negara.
Lihatlah kepada masalah pengangguran tinggi dalam kalangan rakyat. Ia bukan semata-mata berpunca daripada kadar inflasi negara, kelembapan pertumbuhan dan liberalisasi ekonomi, namun juga akibat kekurangan modal insan yang menepati kehendak pasaran.
Anak-anak pasti mempunyai minat tersendiri dalam memilih bidang kerjaya mereka. Sebagai ibu bapa, fahamilah minat anak-anak dengan terus memberi dorongan atas apa sahaja minat yang dipunyai mereka.
Biarlah anak anda memilih sendiri kerjaya diminati. Ibu bapa hanya perlu melatih anak-anak untuk berdikari dalam mengejar cita-cita mereka. Bimbing anak anda untuk memilih kerjaya berdasarkan minat termasuk bertemu dengan mereka yang telah lama berkecimpung dalam bidang diminati. Biar anak-anak merasai sendiri pengalaman memohon pekerjaan. Biarlah mereka berasa kesan apabila permohonan ditolak.
Dengan cara ini akan mewujudkan ketahanan emosi dan mental yang cukup berguna apabila anak-anak berhadapan dengan pelbagai masalah semasa bekerja nanti.
ZURANI BUANG
Kolej Komuniti Ledang, Johor










