MELAKA 14 Sept. – Ribuan penduduk di beberapa kawasan di negeri ini terjejas bekalan air berikutan paras air di dua empangan yang merosot sejak beberapa hari lalu.
Keadaan ini berlaku apabila hanya 550 juta liter bekalan air sehari sahaja mampu dibekalkan dari Empangan Durian Tunggal dan Jus berbanding keperluan harian iaitu sebanyak 600 juta liter.
Difahamkan penduduk di dua tempat iaitu Kampung Solok Pantai Rombang dan Kampung Bukit Darat terputus bekalan air sejak empat hari lalu.
Sebanyak 18 kawasan yang terlibat adalah di daerah Melaka Tengah iaitu di Bukit Darat, Pantai Rombang, Tanjung Kling, pangsapuri Kota Laksamana, Peringgit Jaya, Naga, Tun Sri Lanang, Lereh, Tambi Abdullah, Hilir Kota, Zahir, Berkat, Abadi, Murni, Taman Angkasa Nuri, Taman Merdeka, Taman Indah Sungai Udang dan Bandar Baru Sungai Udang.
Sementara itu, tiga lagi kawasan di daerah Jasin turut terlibat iaitu Taman Seri Kemendor, Felda Kemendor dan Kampung Sri Kesang.
Ketua Menteri, Adly Zahari dalam satu kenyataan petang ini memberitahu, kemorosotan air empangan, kolam tadahan dan sungai Melaka akibat purata hujan yang rendah telah memberi gangguan kepada tekanan air di beberapa kawasan seperti yang dikeluarkan oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).
Katanya, SAMB sedang berusaha mendapatkan bantuan sumber air terutamanya dari Johor dan turut menjalankan proses memindahkan air mentah dari beberapa kawasan di negeri ini sebagai alternatif.
Antara kawasan itu katanya adalah Empangan Ayer Keroh, Lombong Kesang Pajak (Jasin), Kolam Tebatan Banjir JPS (Durian Tunggal), Loji Air Gadek (Alor Gajah) dan Kolam Takungan Gangsa (Durian Tunggal).
“Untuk makluman, kadar takungan air di Empangan Durian Tunggal kini hanya mencatatkan sebanyak 7,270 juta liter dan Empangan Jus 19,975 juta liter.
“Kadar penggunaan air di negeri Melaka adalah sekitar 600 juta liter sehari namun berikutan paras air sungai yang rendah, hanya 550 juta liter dapat dihasilkan,” kata beliau.
Menurut Adly, kawasan yang terjejas juga akan menerima bantuan air melalui lori tangki SAMB serta 16 lori tangki tambahan dari Syarikat Air Johor (SAJ); Syarikat Air Selangor (AIS) dan Lembaga Air Perak (LAP).
“Diharapkan semua penduduk tidak panik dan dapat menggunakan air secara berhemah. SAMB sedang berusaha menstabilkan kolam yang terjejas dan akan memastikan bekalan air sampai ke setiap premis pengguna,” kata beliau. – UTUSAN ONLINE











