SETIU 30 Sept. – Seramai 400 pelajar sekitar daerah Besut dan Setiu didedahkan kepada kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris menerusi program ‘English Communication Day’ yang berlangsung semalam.
Mereka terdiri daripada calon yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari empat buah sekolah rendah dan menengah di daerah berkenaan.
Program sehari yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkap itu dianjurkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
Berita berkaitan:
Timbalan Pengarah Program EmpowerECER Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Jaya Holdings Sdn. Bhd., Dr. Mohd Saiful Izwaan Saadon berkata, pengisian program menitikberatkan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya.
Katanya, langkah itu dapat memberi kesedaran kepada para peserta tentang kepentingan menguasai bahasa Inggeris apabila mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi kelak.
“Secara tak langsung usaha itu akan membuang tanggapan pelajar bahawa bahasa Inggeris merupakan satu bahasa yang sukar untuk dikuasai,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, sepanjang program berlangsung, para peserta dihidangkan dengan pelbagai aktiviti termasuk permainan dan tugasan berkumpulan untuk meningkatkan penggunaan dan kemahiran dalam bahasa tersebut.
Majlis penutup dan penyampaian sijil disempurnakan oleh Ketua Unit Kajian Kemasyarakatan Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Fuad Abd. Aziz. – UTUSAN ONLINE











