PASIR PUTEH 17 Nov. – Kelantan didapati bebas daripada sebarang kegiatan pembalakan haram yang boleh menjejaskan ekosistem dan pencemaran air sungai.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri, Hamzah Mohamad berkata, pemantauan pihaknya bersama Jabatan Perhutanan negeri mendapati kegiatan penerokaan tanah baharu juga tidak lagi berlaku di kawasan pedalaman sejak Oktober lalu.
Sebaliknya kata beliau, hanya kerja-kerja melibatkan projek penanaman semula pokok hutan dijalankan di beberapa lokasi yang telah diberikan kebenaran.
“Pemantauan rapi dan berterusan turut dijalankan di kawasan pertanian Lojing bersama Majlis Daerah yang terlibat.
“Kita mendapati pengusaha tanah di sana mematuhi Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekitar 1974,” katanya ketika ditemui pemberita pada Karnival Alam Hijau du Tasek Pauh, di sini hari ini.
Hamzah dalam pada itu berkata, ketika ini, musim Monsun Timur Laut dengan taburan hujan yang lebat sedang melanda dan aktiviti penerokaan tanah pertanian tidak dibenarkan sama sekali.
“Sebarang aktiviti pertanian di lokasi baharu boleh menyebabkan hakisan tanah bukit. Sebab itu kita tidak membenarkan aktiviti ini dilakukan,” katanya.
Menurutnya, mereka yang tidak mematuhi arahan tersebut dianggap melanggar syarat kelulusan laporan penilaian kesan alam sekitar dan boleh dikenakan denda di bawah Seksyen 34A (8). – UTUSAN ONLINE










