MELAKA: Polis Melaka bersama sembilan agensi penguatkuasaan lain berjaya menumpaskan kegiatan pemprosesan kayu gaharu secara haram dengan nilai rampasan mencecah lebih RM106 juta dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan di dua lokasi berasingan di negeri ini pada 31 Julai lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, operasi yang diketuai Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar bersama beberapa agensi lain telah melakukan serbuan pertama di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai kira-kira pukul 11.30 pagi, disusuli serbuan kedua lima minit kemudian di sebuah rumah di Air Keroh Heights.
“Serbuan hasil risikan selama dua minggu ini berjaya menemui kayu gaharu dan damar minyak dalam pelbagai bentuk termasuk bongkah, serbuk, tunggul kayu import dan guni berisi kayu yang disyaki diproses tanpa lesen sah.
“Nilai rampasan membabitkan kayu gaharu dianggarkan RM106.4 juta, selain mesin bernilai RM380,000 dan tong gas bernilai RM4,362 menjadikan keseluruhan sitaan mencecah RM106.8 juta,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai di sini, hari ini.
Menurutnya, tiga individu ditahan iaitu dua lelaki warga Myanmar yang dipercayai bekerja tanpa dokumen sah di kilang terbabit serta seorang wanita warga tempatan berusia 55 tahun yang juga pemilik rumah.
Tambah Dzulkhairi, siasatan lanjut mendapati premis tersebut tidak pernah berdaftar dengan Jabatan Perhutanan dan tiada lesen sah bagi memiliki, menyimpan atau memproses hasil hutan seperti gaharu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 dan Seksyen 3(1) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1986. MPHTJ turut mengenakan kompaun RM1,000 kerana menjalankan aktiviti pemprosesan tanpa lesen sah.
“Rampasan dokumen berkaitan perniagaan turut dibuat oleh LHDN bagi siasatan kesalahan berkaitan pelarian cukai, manakala KPDN merampas 27 tong gas atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” ujarnya.
Beliau tidak menolak kemungkinan kayu-kayu gaharu yang dirampas termasuk hasil curi dari beberapa kes sebelum ini, antaranya di sebuah kawasan padang golf di negeri ini.
Jelasnya, premis terbabit juga dipercayai telah beroperasi lebih setahun dan gaharu diproses bukan hanya untuk pasaran tempatan, tetapi turut dieksport.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa gaharu merupakan spesies pokok yang dikawal di bawah undang-undang dan memerlukan kebenaran serta lesen yang sah daripada pihak berkuasa.-UTUSAN







