Zakir Naik: Pendirian peribadi Syed Saddiq - Utusan Malaysia

Zakir Naik: Pendirian peribadi Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Tindakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang bersetuju dengan tindakan menghantar balik penceramah antarabangsa terkenal, Dr. Zakir Naik adalah pandangan peribadi dan bukan pandangan rasmi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Najwah Halimah Ab. Alim majoriti ahli termasuk kepemimpinan tertinggi parti itu melihat tindakan Syed Saddiq itu sebagai bertentangan dengan pandangan parti serta pendirian Pengerusi Bersatu yang juga Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Tindakan Syed Saddiq hanyalah pendirian peribadi yang melihat isu tentang Zakir separuh masak dan bukan dari keseluruhan konteks.

“Tun Dr. Mahathir telah berulang kali menjelaskan pendiriannya tetap mempertahankan supaya penceramah terkenal itu kekal di negara ini kerana ia melibatkan soal keselamatan beliau.

“Janganlah hanya kerana mahu popular dalam kalangan orang bukan Melayu maka beliau mahu bersekongkol dengan pihak lain yang mahu menghalau Zakir keluar dari negara ini,” ujarnya kepada Utusan Online hari ini.

Semalam Syed Saddiq menyokong gesaan supaya Zakir dihantar pulang ke India dengan tampil membidas pendakwah kontroversi itu kerana mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu di Malaysia serta menggelar kaum Cina sebagai ‘tetamu’.

Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda Bersatu adalah menteri terawal dari parti itu yang menyokong gesaan dua menteri dari DAP supaya kerajaan mengusir Zakir keluar dari negara ini.

“Saya kenal ramai orang Cina dan India yang sanggup mati pertahankan negara tercinta kita,” katanya menerusi ciapan dalam akaun Twitter rasminya, kelmarin.

Zakir sebelum itu telah memberikan kenyataan pedas terhadap kaum Cina di Malaysia sebagai respons balas atas gesaan pengkritiknya supaya beliau keluar dari negara ini.

Kenyataan itu dibuat pada satu syarahan di Kelantan, Khamis lalu iaitu beliau turut mengeluarkan kenyataan berkaitan penganut Hindu yang menurutnya lebih percaya dengan Perdana Menteri India berbanding Malaysia.

Menurut Najwah Halimah lagi, beliau turut bersetuju dengan pandangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya orang ramai termasuk dalam kalangan pemimpin Melayu tidak mengeluarkan pandangan atau kenyataan melulu tanpa ilmu pengetahuan mencukupi mengenai sesuatu bidang.

“Hadi telah menggesa supaya umat Islam tidak melanggar ‘lampu merah’ dalam isu Zakir apatah lagi kini terdapat beberapa individu dalam kalangan umat Islam sendiri memperkecilkan beliau tanpa pengetahuan yang sebenar dan bukan ahli dalam ilmu perbandingan agama,” katanya.

Ujarnya, Hadi melihat Zakir adalah seorang pengkaji perbandingan agama dan berhujah dengan ilmu perbandingan dengan hafazan kitab-kitab suci pelbagai agama dengan bahasa asalnya.

Oleh itu katanya, hujah untuk bertindak ke atas Zakir wajib ditolak kerana seperti kata Hadi, beliau tidak membawa senjata untuk mengganas maka hentikanlah mencipta hujah yang tiada kaitan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×