BESUT 6 Okt. – Seekor anak lembu sado yang baharu berusia 39 hari membawa tuah kepada pemiliknya apabila diisytiharkan sebagai pemenang kategori Best Of The Best pada Himpunan Lembu Sado Pantai Timur di sini semalam.
Kemenangan itu membolehkan anak lembu baka Limousine milik Mohamad Nurudin Abdullah, 53, dari Kampung Kemal, Pasir Puteh, Kelantan membawa pulang hadiah berupa seekor lembu bernilai RM5,000 serta wang tunai RM500.
Mohamad Nurudin yang pertama kali menyertai pertandingan seumpama itu berkata, sebelum ini ada pihak yang menawarkan harga sebanyak RM4,000 untuk membeli anak lembu itu tetapi dia enggan menjualnya.
“Apatah lagi anak lembu ini membawa kemenangan, jadi saya ambil keputusan untuk tidak menjualnya dalam tempoh tertentu kerana anak lembu ini telah bawa rezeki dan tuah kepada kami sekeluarga,” katanya di sini.
Sementara itu, Amirul Firdaus Sasfarizam, 17, dari Kampung Gong Terap, Setiu pula menjadi peserta termuda sekali gus menjuarai kategori King Of Sado.
Lembu baka Charolais milikya berusia tiga tahun yang diberi nama Abu dengan berat 838 kilogram itu terpilih sebagai juara kategori itu dengan hadiah seekor lembu berharga RM4,500 dan wang tunai RM500.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim.
Program tersebut dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri dan Persatuan Penternak Ruminan Negeri Terengganu (PPRNT).
Sebanyak 77 ekor lembu sado pelbagai baka kalangan pemilik di Kelantan, Pahang dan Terengganu menyertai himpunan tiga hari bermula Khamis lalu itu.
Sempena himpunan itu, beberapa kategori lain turut dipertandingkan iaitu King Of Sado yang paling menjadi tumpuan selain Queen Of Sado, Prince Of Sado dan Princess Of Sado.
Program itu dirasmikan oleh Dr. Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi dan yang turut hadir Pengarah JPV negeri, Dr. Mohd.Termizi Ghazali.











