MENJADI wakil rakyat ketika usianya baru sahaja mencecah 30 tahun, kira-kira dua tahun lalu bukanlah suatu cabaran yang mudah bagi pemimpin muda ini seperti ADUN Seberang Jaya.
Lebih-lebih lagi apabila beliau turut dibayangi oleh pengaruh bapanya yang pernah menjadi wakil rakyat selama dua penggal di kawasan yang sama, sebelum ini.
Pun begitu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah tidak pernah menganggap perkara itu sebagai kekangan untuk beliau terus mendekati rakyat khususnya penduduk di Seberang Jaya.
“Ya, sudah tentu ramai akan berkata bahawa saya bergantung harap kepada pengaruh itu ketika ini. Tapi, dalam politik ini, apa sahaja kaedah yang kita boleh utilize (manfaat), kita kena buat.

“Bagi saya, rugi sekiranya saya tidak utilize betul-betul nama ‘bin Arif Shah’ ini (bekas ADUN Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah) seperti mana Nurul Izzah Anwar dengan bapanya (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim), Datuk Seri Mukhriz (anak Tun Mahathir Mohamad), keluarga Lim dan sebagainya.
“Pengaruh itu memainkan peranan yang besar dalam karier politik seseorang pemimpin itu dan ia juga sebenarnya memberi kelebihan yang besar buat saya,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Biodata Izhar Shah Arif shah
Umur: 32 tahun
Jawatan:
ADUN Seberang Jaya
Ketua Armada Bersatu Pulau Pinang
Pendidikan:
Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (UTEM)
Diploma teknologi maklumat & komunikasi (UTEM)
Menurut graduan Sains Komputer dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu, disebabkan pengaruh itu jugalah beliau tidak menghadapi sebarang masalah untuk mendampingi rakyat ketika ini.
“Kadang-kadang, kalau saya turun padang jumpa penduduk di kawasan saya, mereka bukan tanya saya sihat atau tidak, tapi mereka akan tanya sama ada bapa saya sihat ke tak terlebih dahulu.
“Selain bapa, ibu dan abang sulung saya yang turut aktif berpolitik juga dikenali oleh warga Seberang Jaya. Bagi saya, ini semua satu kelebihan kerana hubungan dengan rakyat dapat dieratkan.
“Atas dasar itu juga saya telah menganggap seluruh penduduk Seberang Jaya ini seperti keluarga besar saya,” kata beliau yang juga Ketua Armada bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang.

Izhar Shah memberitahu, meskipun memanfaatkan sepenuhnya pengaruh yang dimiliki oleh bapanya dalam bidang politik, beliau cuba untuk berkhidmat kepada rakyat mengikut caranya yang tersendiri.
“Sudah tentu saya juga ingin memiliki legasi sendiri dan tidak bergantung harap sepenuhnya kepada pengaruh bapa saya.
“Dalam hal ini, ramai tidak tidak sedar bahawa ada perbezaan daripada segi cara kerja saya dengan bapa. Sebagai contoh, bapa saya lebih suka bekerja di pejabat, tetapi dia akan sentiasa bekerja lebih masa untuk mendengar aduan rakyat.
“Saya pula lebih suka turun padang untuk meninjau dan melihat sendiri masalah rakyat khususnya di Seberang Jaya ini,” katanya yang mengamalkan tiga prinsip penting ketika berkhidmat iaitu ‘yang tiada kita usahakan’, ‘yang ada kita tingkatkan’ dan ‘yang beban kita ringankan’.
Jelas Izhar Shah yang fasih berbahasa Mandarin sejak di bangku sekolah, beliau kini sedang berusaha meningkatkan tahap penguasaan bahasanya demi merapatkan hubungan dengan penduduk Seberang Jaya yang terdiri daripada berbilang bangsa.
“Kelebihan saya adalah saya boleh bercakap Cina khususnya bahasa Mandarin dan ini memudahkan komunikasi antara saya dengan penduduk berketurunan Cina.
“Jadi, saya tidak perlukan pegawai-pegawai Cina untuk translate (alih bahasa) jika perlu turun padang untuk bertemu mereka,” katanya yang turut memahami Hokkien, namun, tidak sefasih bapanya.
Tambah Izhar Shah, ketika ini, beliau sedang berusaha untuk mempelajari bahasa Tamil bagi melancarkan serta memudahkan komunikasinya dengan penduduk berbangsa India pula.
“Di Seberang Jaya sahaja ada sekitar 4,000 hingga 6,000 pengundi berbangsa India.
“Jadi, saya kena mahir bahasa lain juga,” katanya yang ingin dikenali sebagai seorang wakil rakyat yang sentiasa dekat dengan masyarakat,” katanya. – UTUSAN










