KUALA TERENGGANU 1 Ogos – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu hari ini memberi jaminan tiada sebarang penjualan produk gula-gula `Ghost Smoke’ di semua premis perniagaan di negeri ini, setakat ini.
Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd. Kia berkata, sejak pemeriksaan yang bermula 23 Julai lalu, pihaknya tidak menemukan produk seumpama itu dijual di premis runcit atau borong di serata negeri ini.
Beliau memberitahu, seramai 110 anggota penguatkuasa terlibat dalam operasi itu yang turut disertai agensi di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
Jelasnya, sebanyak 206 premis diperiksa dengan tumpuan premis runcit sekitar sekolah dan perumahan selain pemborong makanan yang siap dibungkus.
“Hasil pemeriksaan mendapati produk itu sudah lama tak dijual oleh peruncit kerana tidak cukup bekalan, kebanyakan peruncit di negeri ini juga ambil inisiatif tidak jual produk ini kerana menjejaskan kesihatan fizikal dan sahsiah pelajar sekolah.
“Kita akan teruskan pemeriksaan dan diharapkan supaya para peniaga tak jual produk ini kepada murid atau pelajar sekolah, orang awam juga digesa salurkan maklumat jika terdapat peniaga yang jual produk ini. Kita akan ambil tindakan dan siasatan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya di sini hari ini.
Saharuddin seterusnya menarik perhatian, berdasarkan statistik penguatkuasaan melibatkan semua akta bagi tahun ini, KPDNHEP negeri melakukan 32,358 pemeriksaan di seluruh Terengganu.
Katanya, daripada jumlah itu, 439 kes dicatat membabitkan nilai rampasan kira-kira RM1.8 juta selain kompaun berjumlah RM62,500.
Menurutnya, bagi hukuman denda di mahkamah pula, sebanyak 32 kes disabitkan dengan kesalahan selain dikenakan denda berjumlah RM274,300 bagi keseluruhan kes di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Kawalan Bekalan 1961. – UTUSAN ONLINE











