PETALING JAYA – Seorang suspek lelaki yang disyaki terlibat dalam beberapa siri kejadian pecah rumah berjaya ditahan di sekitar kawasan Sungai Way dekat sini semalam.
Dalam tangkapan pada pukul 7.30 malam itu telah dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Sungai Way ketika menjalankan Ops Pecah Rumah dan Samun di sekitar daerah terbabit.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an telah ditahan di belakang Flat Impian Baiduri.
“Suspek juga telah membuat pengakuan terhadap beberapa kes pecah rumah bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas dan siasatan awal mendapati suspek memiliki beberapa rekod jenayah lampau berkaitan kes curi serta dadah.
“Kita juga masih menjalankan siasatan bagi melihat sejauh mana penglibatan suspek terhadap jenayah jalanan terutamanya kes melibatkan pecah rumah dalam daerah Petaling Jaya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mengulas lanjut, pihaknya sedang giat mengesan rakan suspek yang masih lagi bebas di sekitar Sungai Way bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. – K! ONLINE











