SHAH ALAM 2 Ogos – Jika sebelum ini PKR mengembar-gemburkan bahawa Lembaga Disiplin parti akan memanggil Amirudin Shari ekoran ucapannya pada malam 21 Julai lalu, tetapi rupa-rupanya sehingga ke hari ini, Menteri Besar Selangor itu belum menerima surat mengarahkan beliau mengadap.
“Tiada, setakat ini tiada,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menemani Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merasmikan Simposium Kepimpinan Universiti Ke-10 di sini hari ini.
Kepada soalan apakah juga tiada panggilan menerusi telefon dibuat, Amirudin juga mengesahkan tiada.
“Alhamdulillah tiada lagi,” ujarnya.
Pada malam 21 Julai lalu, ketika berucap dalam majlis bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan beliau sendiri bertindak selaku tuan rumah, Amirudin memberikan bayangan dalang utama di sebalik penyebaran video seks yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin.
Ucapan tersebut telah mengundang kemarahan dari kem yang tidak sebulu dengan Mohamed Azmin dalam PKR kerana difahami ia merujuk kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ekoran itu, PKR memaklumkan Amirudin akan dirujuk ke Lembaga Disiplin bersama Setiausaha Politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan veteran PKR, Khalid Jaafar. – UTUSAN ONLINE











