Samad juara pertandingan beruk pulas kelapa - Utusan Malaysia

Samad juara pertandingan beruk pulas kelapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH – Samad tampil juara selepas berjaya memetik 15 biji kelapa dalam Pertandingan Beruk Pulas Nyior di tapak Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Kelantan di Pantai Bisikan Bayu, di sini hari ini.

Samad beruk jantan berusia tiga tahun milik Mohd. Azrul Hakimi Mohammad, 20, tampil ke gelanggang dengan tangkas menjatuhkan kelapa muda dengan hanya menggunakan gigi taringnya.

Mohd. Azrul dari Kampung Kandis, Bachok berkata, Samad banyak menyumbang pendapatan kepadanya yang mengusahakan penjualan kelapa kepada pengusaha memproses santan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, beruk itu kelihatan garang namun mendengar kata tuan dan tidak akan melengahkan kerja menurunkan kelapa.

“Beruk ini saya beli dengan harga RM5,100 dan kini ditawarkan dengan harga RM10,000. Ada lagi seekor di rumah yang sama tangkas dengannya.

“Saya tidak akan menjualnya kerana haiwan bekerja ini adalah punca utama pendapatan. Dua ekor beruk dan tiga van pengangkut kelapa adalah aset utama perniagaan kelapa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Hanya 12 ekor beruk menyertai pertandingan ini iaitu Putih, Mamat, Jen, John, Tokok, Itey, Said, Mat Yeh, Cotek, Salleh, Kecik dan Samad.

Hadiah tempat pertama hingga ketiga berupa barangan eletrik dan kesemua penyertaan disediakan hadiah sagu hati berupa hamper.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Ketua Unit Agrinomi, Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Shalika Abdul Razak.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim menyaksikan pertandingan diadakan selama dua jam bermula pukul 10.30 pagi.

Ketua pengadil pertandingan itu, Mohd. Solah Ramli berkata, peruntukan masa untuk beruk memetik kelapa ialah 1 minit 15 saat dengan menggunakan sistem jatuhan tempurung ke dalam air.

Menurutnya, peserta yang menyertai pertandingan itu tidak dibenarkan bersikap bengis atau memukul beruk mereka sepanjang pertandingan dijalankan.

Tempat kedua dimenangi beruk bernama Tokok yang berjaya menjatuhkan enam biji kelapa dan tempat ketiga, Itey yang menjatuhkan lima biji kelapa. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini