KUALA LUMPUR 31 Julai – Bank Negara Malaysia (BNM) memberi kebenaran kepada RHB Bank Bhd untuk memulakan rundingan dengan Tokio Marine Asia Pte. Ltd. bagi melupuskan sehingga 94.7 peratus kepentingan dalam RHB Insurance.
Ia sekali gus mengesahkan laporan sebelum ini yang memetik sumber mengatakan RHB akan membuat pengumuman mengenai pelupusan aset dengan perniagaan insuransnya mungkin akan dijual.
RHB Bank berkata, pihaknya telah memperoleh kelulusan enam bulan bermula dari surat bertarikh 29 Julai daripada bank pusat itu untuk memulakan perbincangan.
“RHB Bank ingin mengumumkan bahawa BNM menerusi surat bertarikh 29 julai 2019, menyatakan bahawa pihaknya tidak mempunyai bantahan untuk syarikat itu memulakan rundingan dengan Tokyo Marine Asia berhubung penjualan yang dicadangkan sehingga 94.7 peratus,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.
Bank itu berkata, satu pengumuman terperinci tentang pelupusan yang dicadangkan akan dibuat apabila pelaksanaan perjanjian dimuktamadkan bagi pelupusan yang dicadangkan itu.
Saham RHB Bank digantung pagi ini sementara menunggu pengumuman penting dan akan disambung semula jam 2.30 petang hari ini.
“Oleh itu, urus niaga dalam semua waran berstruktur yang berkaitan dengan RHB Bank juga akan disambung semula pada masa yang sama,” kata bank itu.
Saham RHB ditutup 21 sen atau 3.72 peratus lebih rendah pada RM5.44 sesaham pada hari Isnin, menjadikannya modal pasarannya sebanyak RM21.82 bilion.










