Raja Permaisuri Agong melawat Hospital Rehabilitasi Cheras - Utusan Malaysia

Raja Permaisuri Agong melawat Hospital Rehabilitasi Cheras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat Hospital Rehabilitasi Cheras di sini hari ini.

Ketibaan Seri Paduka disambut oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefli Ahmad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan Pengarah hospital itu, Dr. Roslan Johari Mohd. Ghazali.

Seri Paduka berkenan meluangkan masa selama sejam melawat Unit Teknologi Rehab dan Wad Kanak-Kanak hospital tersebut serta menyampaikan cenderamata kepada pesakit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sempena lawatan itu, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada pihak hospital yang diterima oleh Dr. Roslan Johari.

Terdahulu, Dr. Dzulkefli menyembah ucapan atas kesudian keberangkatan Seri Paduka melawat hospital rehabilitasi terbesar di Asia Tenggara itu.

Dalam ucapannya, beliau berkata, lawatan itu menunjukkan keprihatinan dan komitmen Seri Paduka terhadap kesihatan rakyat negara ini.

“Tidak dinafikan kesihatan adalah tanggungjawab kita bersama dan rehabilitasi merupakan satu proses rawatan perubatan yang bertujuan mengembalikan dan mengoptimumkan kebolehan seseorang pesakit untuk berfungsi dalam persekitaran kehidupannya,” katanya.

Hospital Rehabilitasi yang mula beroperasi pada 26 April 2012 menawarkan tujuh perkhidmatan seperti rehabilitasi neurologi, spinal, jantung, kecederaan otak, pediatrik, geriatrik dan muskuluskeletal.

Hospital itu juga menyediakan empat jenis terapi iaitu Terapi Pemulihan Anggota, Cara Kerja, Pertuturan dan Pemulihan Pendengaran.

Pada tahun lalu, seramai 70,783 pesakit yang dirawat dengan nisbah 64 peratus pesakit lelaki dan 36 peratus pula adalah wanita. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini