Polis Selangor kesan 95 individu berkaitan jenayah komersial - Utusan Malaysia

Polis Selangor kesan 95 individu berkaitan jenayah komersial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Seramai 95 individu diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bagi membantu siasatan berkaitan kes jenayah komersial sejak 2009 sehingga kini yang membabitkan kerugian mencecah RM4 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, kesemua mereka terdiri daripada 62 orang lelaki dan 33 wanita berusia lingkungan 20 hingga 60-an.

Beliau berkata, kesemua mereka dipercayai terlibat dalam 85 kes penipuan dan 10 kes melibatkan pecah amanah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka ini disyaki terlibat dengan beberapa jenayah komersial sejak 2009 hingga tahun ini termasuk pelaburan tidak wujud, penipuan atas talian dan pecah amanah.

“Kerugian yang dicatatkan oleh 95 individu ini dianggarkan hampir RM4 juta. Justeru, saya meminta individu-individu ini tampil segera bagi membantu siasatan,”katanya pada sidang akhbar di IPK Selangor di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut meminta orang ramai yang mengenali individu terbabit supaya menghubungi terus pegawai penyiasat atau balai polis berhampiran.

“Nama dan gambar semua individu yang kita sedang kesan ini akan dipaparkan di dalam akaun rasmi Facebook Polis Selangor dan orang ramai boleh merujuk segala maklumat di laman sosial berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Fazlisyam memberitahu sebanyak 2,517 kes melibatkan jenayah komersial telah dilaporkan kepada JSJK Selangor melibatkan kerugian hampir RM480 juta bermula awal Januari sehingga 30 Jun lalu.

“Bagi tahun ini, sebanyak 796 kes telah dituduh di mahkamah di mana 266 kes merupakan kes pada tahun ini manakala 530 kes lagi merupakan kes tahun sebelumnya,”ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini