KEMAMAN 30 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kemaman hari ini menggerakkan kempen membeli akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! bagi menyokong syarikat akhbar tertua itu yang kini berdepan krisis kewangan.
Ketuanya, Hashim Ali berkata, setiap ahli sayap diseru untuk melanggan secara berterusan akhbar keluaran Kumpulan Utusan bagi memastikan akhbar berkenaan terus kembali bernafas.
“Dengan melanggan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! secara tidak langsung kita dapat membantu khazanah negara ini agar diterbitkan sampai bila-bila.
Berita berkaitan:
“Jika tidak mampu untuk membeli kedua-dua akhbar ini yang berharga RM3.50 sehari, kita seru mereka untuk melanggan akhbar digital (e-Paper) yang bernilai RM50 setahun,” katanya ketika ditemui di pasar minggu dan pasar tani Chukai di sini hari ini.
Kempen itu turut disertai Pengerusi Skuad Sabil Pemuda negeri, Mohd. Fadini Rahim dan Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Kemaman.
Hashim berkata, sebagai akhbar berbahasa Melayu tertua di Malaysia, jasa serta peranan Utusan Malaysia tiada tolok bandingnya kepada masyarakat dan negara sejak sebelum mencapai kemerdekaan lagi
“Oleh itu, Utusan Malaysia yang merupakan suara orang Melayu mesti kita pertahankan agar ia terus hidup untuk tatapan generasi akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE











