JKDM Sarawak gempur rumah dijadikan pusat penyimpanan rokok, minuman keras seludup

JKDM Sarawak gempur rumah dijadikan pusat penyimpanan rokok, minuman keras seludup

Rokok dan minuman keras yang disimpan di sebuah rumah di Lorong Rantau Panjang Jaya 3H, Sibu dirampas oleh JKDM Sarawak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIBU: Sebuah rumah yang dijadikan pusat penyimpanan rokok dan minuman keras seludup digempur oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak, yang membawa kepada rampasan bernilai lebih RM7.2 juta.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Norizan Yahya berkata serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Sarikei kira-kira pukul 9.15 malam, 19 Disember lalu itu dibuat ke atas rumah yang beralamat di Lorong Rantau Panjang Jaya 3H, di sini.

“Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan telah berjaya menemukan sebanyak 6,766,400 batang rokok dan 89,416.80 liter minuman keras yang disyaki merupakan barang
larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

“Nilai sitaan rokok dan minuman keras tersebut dianggarkan berjumlah RM1,209,043.20, manakala jumlah duti import dan cukai yang terlibat dianggarkan sebanyak RM6,079,411.85,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata modus operandi sindiket adalah menyimpan rokok dan minuman keras yang diseludup di rumah kediaman bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa.

Norizan berkata kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan atau memiliki apa-apa barang tak berkastam atau larangan import di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Katanya jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM100,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000, yang mana lebih besar atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN