312,000 batang rokok seludup bernilai RM769,480 dirampas, tiga ditahan

312,000 batang rokok seludup bernilai RM769,480 dirampas, tiga ditahan

SEBAHAGIAN rokok pelbagai jenama yang dipercayai tidak bercukai kastam bernilai RM769,480 dirampas selepas tiga warga asing ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Daya, Johor Bahru, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 312,000 batang rokok pelbagai jenama yang dipercayai tidak bercukai kastam bernilai RM769,480 dirampas selepas tiga warga asing ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Daya, Johor Bahru, kelmarin.

Serbuan pukul 10 malam itu dijalankan Bahagian Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.

Turut serta pegawai serta anggota Cawangan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaki Ashar berkata, hasil serbuan, polis menahan dua lelaki warga Bangladesh berusia 26 dan 49 tahun serta seorang wanita warga Indonesia berusia 51 tahun bagi membantu siasatan.

Menurutnya, dalam operasi itu, polis turut merampas 312,000 batang rokok pelbagai jenama yang disimpan di dalam rumah serta kenderaan.

“Turut disita sebuah kereta Proton Exora dan satu rangkai anak kunci.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1957 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata,operasi itu berjaya memutuskan rangkaian penyimpanan serta pembekalan rokok tidak bercukai kastam di sekitar Johor Bahru.

“Usaha mengesan dalang utama sindiket berkenaan masih diteruskan dan operasi penguatkuasaan akan dipergiat dari semasa ke semasa,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN