68.8 peratus rokok seludup dijual warga asing 

68.8 peratus rokok seludup dijual warga asing 

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rokok seludup didakwa semakin mudah dibeli di kedai runcit harian apabila 68.8 peratus pembeli mengakui mendapatkannya daripada penjual warga asing.

Dapatan itu berdasarkan tinjauan nasional Wawasanex pada Mei lalu melibatkan 603 responden di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi menilai tahap pembelian serta akses kepada rokok seludup di negara ini.  

Tinjauan tersebut mendapati hampir dua daripada tiga rakyat Malaysia atau 63.8 peratus pernah membeli rokok seludup dalam tempoh 12 bulan lalu.

Berdasarkan 4.5 juta perokok yang direkodkan menerusi Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, angka itu dianggarkan bersamaan kira-kira tiga juta rakyat Malaysia membeli rokok seludup dalam tempoh setahun.

Pengasas Bersama dan Pengarah Analitik Kreatif Wawasanex, Dini Nurhani berkata, dapatan itu menunjukkan pekerja asing memainkan peranan besar dalam perdagangan rokok seludup di Malaysia.

“Realitinya amat membimbangkan. Pekerja asing memainkan peranan utama dalam perdagangan rokok seludup di Malaysia.

“Data kami menunjukkan 68.8 peratus pembeli mengenal pasti warga asing sebagai penjual mereka, satu petunjuk jelas bahawa rangkaian ini telah berakar umbi dalam sektor peruncitan harian,” katanya dalam kenyataan.

Menurut tinjauan itu, sebanyak 99 peratus responden menyifatkan rokok seludup sebagai sangat mudah atau mudah diperoleh, dengan 83.8 peratus membelinya di kedai runcit dan 12.5 peratus di premis dikenali sebagai Kedai Aceh.

Dini berkata, penjualan rokok seludup tidak lagi berlaku secara tersembunyi, sebaliknya didakwa dijual secara terbuka di kedai runcit dan kedai sudut tanpa banyak halangan kepada pembeli.

“Ini menunjukkan kewujudan satu sistem yang tersusun dan mantap, yang bergantung besar kepada pekerja asing untuk memastikan perdagangan ini terus berjalan,” katanya.

Tinjauan sama turut mendapati 91 peratus responden membeli rokok seludup kerana harga murah, manakala 75 peratus lagi menyatakan akses mudah sebagai faktor utama.

Sebanyak 35 peratus responden pula mendakwa, rokok seludup merupakan satu-satunya pilihan yang tersedia ketika pembelian dibuat, sekali gus menggambarkan penguasaan pasaran haram itu di kawasan tertentu.

Dini berkata, 87 peratus responden menyokong hukuman lebih tegas terhadap semua pihak terlibat termasuk majikan dan pekerja asing yang menjual rokok seludup, selain 67.8 peratus mahu denda lebih tinggi serta 65 peratus menuntut penguatkuasaan lebih ketat.

“Walaupun Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas produk tembakau haram bernilai RM903.49 juta dalam tempoh dua tahun lalu serta menggagalkan 7,097 kes pada 2025, perdagangan itu masih berlaku kerana kesan hukuman belum cukup dirasai di lapangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN