PETALING JAYA: Penjualan rokok seludup di negara ini dilihat semakin membimbangkan apabila sindiket bukan sahaja terus menguasai sebahagian besar pasaran tempatan, malah kegiatan itu didakwa berlaku secara terbuka di premis-premis runcit tanpa mengira usia pembeli.
Situasi tersebut bukan sahaja mengakibatkan kerajaan kehilangan hasil cukai bernilai RM5 bilion, malah meningkatkan risiko pertambahan perokok bawah umur serta beban rawatan kesihatan pada masa hadapan.
Menurut Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM), Kajian Rokok Tidak Sah yang dijalankan NielsenIQ menunjukkan kadar insiden rokok haram di Malaysia kekal tinggi pada 54.4 peratus tahun lalu.
Kajian itu turut mendedahkan bahawa enam daripada setiap 10 kotak rokok yang dijual di negara ini merupakan rokok seludup dan tidak bercukai, sekali gus menunjukkan sindiket penyeludupan menguasai kira-kira 60 peratus pasaran tempatan.
Kebanyakan rokok seludup yang berada di pasaran tempatan dipercayai dibawa masuk secara tidak sah dari Vietnam, China dan Indonesia menggunakan kontena sepanjang 10 meter yang mampu memuatkan sehingga 10 juta batang rokok, selain laluan penyeludupan pesisir pantai menggunakan bot pancung di kawasan muara sungai timur semenanjung.
Sindiket penyeludupan dianggarkan meraih keuntungan sehingga RM2 juta bagi setiap kontena, manakala kerajaan pula kehilangan hasil cukai berbilion ringgit akibat aktiviti tersebut.
Malaysia dianggarkan mempunyai kira-kira 4.8 juta perokok dewasa dengan prevalens merokok sebanyak 19 peratus dalam kalangan penduduk berusia 15 tahun ke atas, yang mana sebahagian besar dipercayai memilih rokok seludup.
Keadaan itu didorong oleh harga rokok seludup yang lebih murah, kemudahan mendapatkan bekalan serta tekanan kos sara hidup.
Malah, tinjauan nasional Wawasanex pada Mei lalu mendapati 68.8 peratus pembeli mengakui mendapatkan rokok seludup daripada penjual warga asing di kedai-kedai runcit di seluruh negara.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan aktivis anti-merokok, N. V. Subbarow mengakui penjualan rokok seludup di negara ini semakin berleluasa.
Beliau berkata, kebanyakan penjual dipercayai terdiri daripada warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa permit sah dan kegiatan itu dilakukan secara terbuka, sekali gus menunjukkan perlunya penguatkuasaan yang lebih tegas bagi membanteras aktiviti berkenaan.
“Mereka dilihat seolah-olah tidak takut dan tidak mempedulikan persekitaran. Keadaan ini menunjukkan perlunya tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan bagi membanteras penjualan rokok seludup di negara ini.
“Tanya sahaja penduduk setempat, mereka boleh menunjukkan kedai mana yang menjual rokok seludup kerana kegiatan itu sudah terlalu banyak dan berleluasa,” katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa premis runcit mendapati penjualan rokok seludup tidak dilakukan secara tertutup, sebaliknya dijalankan secara terbuka tanpa mengambil kira usia pembeli.
Seorang pekerja asing yang mahu dikenali sebagai Adi berkata, bekalan rokok haram diperoleh daripada sindiket penyeludupan dan dijual pada harga serendah RM5 hingga RM9 sekotak bergantung pada jenama.
Katanya, premis tempatnya bekerja beroperasi menggunakan lesen yang disewa daripada warga tempatan dengan bayaran bulanan.
“Saya bekerja di kedai runcit ini sudah lebih lima tahun dan memang ramai pelanggan membeli rokok seludup berbanding rokok bercukai, mungkin disebabkan harganya lebih murah.
“Rokok seludup memang kami tidak pamerkan secara terbuka. Kami simpan di ruangan khas dan apabila ada pembeli, barulah kami mengambilnya dari bahagian belakang atau stor,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, seorang lagi pekerja asing yang hanya mahu dikenali sebagai Herman berkata, kedainya tidak menyimpan stok rokok seludup dalam kuantiti yang banyak, sebaliknya sekadar memenuhi permintaan untuk tempoh seminggu.
Menurutnya, individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan akan menghantar bekalan rokok ke kedai-kedai runcit terbabit setiap minggu.
“Memang saya rasa kebanyakan kedai tidak menyimpan rokok seludup dalam jumlah yang banyak kerana bimbang diserbu pihak berkuasa,” katanya.
Bukan itu sahaja, beliau turut mendedahkan detik genting apabila kedainya pernah diserbu pihak berkuasa, namun bertindak pantas melarikan diri sebelum sempat ditangkap.
“Saya masih berasa takut hingga ke hari ini, bimbang akan ditangkap pada bila-bila masa. Namun saya masih terlibat dalam penjualan rokok seludup ini kerana tidak mempunyai kemahiran atau pengalaman dalam pekerjaan lain. Saya tetap perlu menghantar wang kepada keluarga,” katanya
Warga asing tidak terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati menjual rokok seludup. Mereka boleh dikenakan tindakan sama seperti warganegara di bawah Akta Kastam 1967, iaitu denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Mereka juga boleh berdepan tindakan imigresen sekiranya melanggar syarat permit atau tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Wakil Migrant Care Malaysia, Alex Ong mendakwa kegiatan penyeludupan rokok di negara ini terus berleluasa susulan kewujudan rangkaian yang telah lama dibina oleh sebahagian warga asing, khususnya dari Aceh, Indonesia.
Menurut beliau, komuniti Aceh yang telah berhijrah dan menetap di Malaysia sejak sekian lama mempunyai jaringan sosial yang kukuh, sekali gus memudahkan sebahagian daripada mereka menjalankan aktiviti penyeludupan serta penjualan rokok tidak sah.
“Golongan yang paling aktif dalam aktiviti penjualan barangan seludup termasuk rokok ialah orang Aceh. Sejak mereka menjadi pelarian di Indonesia lagi, mereka telah membangunkan jaringan sosial sendiri yang turut mengendalikan kebanyakan rangkaian rokok seludup dari negara itu,” katanya.
Alex berkata, jaringan sosial yang terbina itu turut berfungsi sebagai sistem sokongan bagi membantu individu yang berdepan tindakan penguatkuasaan daripada pihak berkuasa.
“Mereka saling membantu antara satu sama lain. Walaupun seseorang individu itu telah ditangkap, rakan-rakannya akan membantu supaya dia dapat meneruskan aktivitinya semula,” katanya.
Beliau berkata, Migrant Care Malaysia sentiasa menasihati warga Indonesia yang berada di negara ini supaya mematuhi undang-undang Malaysia dan tidak terlibat dalam sebarang bentuk kegiatan jenayah, termasuk penjualan rokok seludup.
Katanya, penglibatan dalam kegiatan tersebut bukan sahaja merugikan diri sendiri, malah boleh memberi kesan buruk kepada keluarga.
“Apabila ditangkap, anda bukan sahaja dihantar pulang ke negara asal, malah berdepan hukuman penjara juga menyebabkan perpecahan keluarga malah ada kes yang menyaksikan anak-anak ditinggalkan kerana kedua-dua ibu bapa ditangkap.
“Kamu datang ke sini untuk mencari rezeki. Jika terlibat dalam aktiviti seperti ini, ia hanya akan menyusahkan diri sendiri, lebih-lebih lagi jika mempunyai anak yang masih kecil. Jika ditangkap dan dipenjarakan, siapa yang akan menanggung hutang di luar? Sudah pasti ‘tokey’ akan melepaskan tangan demi menyelamatkan diri sendiri,” katanya. – UTUSAN










