REMBAU: Polis kini sedang giat mengesan dua lelaki yang menjadi suspek cubaan samun seorang wanita di Taman Dato Lela Maharaja Chembong, di sini pada 30 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Hazri Mohamad berkata, dalam kejadian tersebut, mangsa berusia 38 tahun mengalami luka dan sakit di bahagian leher.
Menurutnya, polis menerima maklumat kejadian melalui panggilan telefon daripada seorang jiran mangsa yang memaklumkan wanita itu telah disamun oleh dua lelaki menggunakan sebilah parang.
Jelasnya, dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi itu, kedua-dua lelaki berkenaan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC berwarna biru atau hitam.
“Bertindak ke atas maklumat, polis telah menjalankan siasatan dan hasilnya mendapati penunggang motosikal telah memegang parang, meraba leher mangsa dan cuba untuk menarik rantai leher.
“Bagaimanapun cubaan samun itu telah dihalang oleh anak mangsa yang membaling kerusi ke arah suspek. Suspek telah melarikan diri, namun, polis berjaya mengesan kenderaan yang digunakan melalui semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hazri berkata, kes masih dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis terdekat atau atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau di talian 06-6851999. –UTUSAN ONLINE










